KUALA LUMPUR 9 Mei – Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan prestasi rendah berikutan penjualan berterusan di seluruh papan, dalam keadaan ekuiti serantau yang lemah serta pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI turun 15.02 mata kepada 1,618.53 daripada 1,633.55 ketika ditutup pada Rabu, dengan Nestle merosot RM3.40 kepada RM145, mendorong penurunan.
Indeks itu dibuka 3.94 mata lebih rendah kepada 1,629.61, dan bergerak antara 1,618.33 dan 1,63044 sepanjang dagangan.
Secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 610 berbanding 246 manakala 333 kaunter tidak berubah, 721 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.14 bilion saham bernilai RM2.02 bilion daripada 2.47 bilion saham bernilai RM2.06 bilion yang dicatatkan semalam. – BERNAMA











