KEMAMAN 9 Mei – Seorang pemancing maut, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan dan seorang masih hilang selepas bot yang disewa mereka karam dalam kejadian di perairan Kuala Dungun di Dungun, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kesemua mereka ditemukan berpaut pada boya keselamatan kira-kira 30 batu nautika dari arah timur perairan Kerteh di sini pada pukul 1 petang ini.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia ialah Chong Yuen Khang, 36, manakala tiga yang lain dikenali sebagai Lok Win Thye, 28; Choo Yaw Wu, 48; dan Chan Kai Wai, 51, sementara yang hilang adalah warga Singapura, Tan Buck Choon.
“Mangsa dikesan dan diselamatkan oleh helikopter Maritim Malaysia. Ketika ditemui mayat salah seorang yang telah meninggal dunia diikat bersama mereka bagi mengelak daripada tenggelam dan hanyut.
“Mangsa lain stabil walaupun keletihan dan mengalami dehidrasi dengan kini mereka dirawat di Hospital Kemaman manakala mayat pula dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku di kawasan perairan Pulau Tenggol itu, tiga lagi mangsa iaitu seorang tekong dan dua awak-awak yang turut berada di dalam bot berkenaan sempat diselamatkan oleh bot nelayan lain yang berada di lokasi kejadian.
Kesemua lima pemancing itu dikatakan menyewa bot nelayan yang berpangkalan di Kuala Dungun sebelum mereka ke laut petang semalam.
Sewaktu berada di lokasi kejadian, bot tersebut telah dipukul ombak besar menyebabkannya karam.
Rashidilhadi berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan selepas menerima laporan kira-kira pukul 11.30 malam dengan pagi ini tiga helikopter Maritim Malaysia iaitu AW139 dan AS365N3 Dauphin di samping sebuah kapal ronda KM Nusa digunakan bagi membantu pencarian.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan. – UTUSAN ONLINE











