SEREMBAN – Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (Gakum) meminta universiti awam di seluruh negara membiayai perlindungan program takaful CuepacsCare untuk kira-kira 50,000 kakitangan mereka.
Presidennya, Zulkifli Mohamad berkata, langkah itu untuk kebajikan kakitangan universiti awam dan membantu menjimatkan perbelanjaan universiti awam dalam aspek rawatan kesihatan pekerja.
“Gakum akan mencadangkan perkara ini kepada pihak pengurusan 20 universiti awam di seluruh negara. Sebelum ini rawatan untuk kakitangan hanya melalui klinik panel.
“Jika tidak dapat biayai seratus peratus, sekurang-kurangnya dapat membiayai separuh bayaran bulanan takaful CuepacsCare itu untuk kakitangan,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MyCeupacsCare dan Gakum di sini hari ini.
Memorandum Persefahaman itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan MyCeupacsCare, K. Palanisamy mewakili MyCeupacsCare, manakala Gakum diwakili oleh Zulkifli.
Zulkifli berkata, Gakum telah meneliti program takaful CuepacsCare adalah yang termurah dan terbaik pernah ditawarkan khas untuk kakitangan awam.
Menurut beliau, harga produk takaful CuepacsCare cuma RM85 sebulan untuk seisi keluarga dan RM32 sebulan bagi individu melibatkan perlindungan sehingga RM60,000 setahun.
Sementara itu, Palanisamy berkata, MyCeupacsCare dan Gakum akan bekerjasama mempromosikan pelan perlindungan takaful di 20 universiti awam di seluruh negara.
“MyCeupacsCare menyasarkan kira-kira 50 peratus penjawat awam memiliki perlindungan takaful sehingga penghujung tahun 2020.
“Sehingga kini hanya 20 peratus sahaja penjawat awam dilindungi takaful,” katanya. – K! ONLINE











