JOHOR BAHRU 9 Mei – Selepas Parti Patriotik Nasional (PPN) sedia bekerjasama dengan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dalam bidang politik, kini Pemuda Pas pula menyatakan kesediaan berganding dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, sekiranya diberikan ruang, pihaknya sedia dan mempunyai pendirian teguh untuk memberikan kerjasama yang baik dengan putera sulung Sultan Johor itu dan kerabat diraja berkenaan.
“Saya yakin Tunku Ismail mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat negeri ini, bagi Pemuda Pas pula saya barharap kerjasama baik, mungkin Tunku Ismail boleh dijadikan model mengenal pemikiran rakyat negeri ini, sebab Johor ini lain sedikit.
“Saya juga berharap hubungan baik daripada Pas dan parti pembangkang lain dapat dijalinkan bersama Tunku Ismail,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Muktamar Tahunan Kali ke-47 Dewan Pemuda Pas Negeri Johor di LC Katering di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pemuda Pas negeri, Jawahir Amin.
Semalam PPN dalam satu kenyataan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Tunku Idris Iskandar sekiranya berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – UTUSAN ONLINE











