KEMAMAN 9 Mei – Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai, Pulau Pinang muncul juara Pertandingan Inovasi dan Kreativiti TVET (TICPRO) 2019 anjuran Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kemaman di sini baru-baru ini.
Selain menjadi Juara TICPRO 2019 kategori mekanikal, Projek Design and Fabricate Internet of Things (IOT) ILP itu turut menerima anugerah Inovasi Terbaik kategori Mekanikal dengan membawa pulang hadiah keseluruhan RM1,400.
Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut, muncul naib juara dengan projek Generator Fuel Saver and Green Energy Power yang turut menerima anugerah Inovasi terbaik kategori Elektrikal / Elektronik / ICT & Multimedia dengan mendapat RM1,000.
Projek Super Gear Oil Filler (S-GO), ILP Jitra di tempat ketiga dengan menerima hadiah RM500.
Program dua hari itu disertai sebanyak 124 projek yang dipertandingkan mengikut kategori Mekanikal (52), Elektrikal / Elektronik / ICT & Multimedia (43) Sivil (16) dan Sekolah (13).
Sebanyak 30 buah pusat pengajian tinggi dan sekolah menyertai TICPRO 2019 termasuk Adtec Kemaman, Adtec Batu Pahat, Adtec Jerantut dan Adtec Taiping.
Turut serta, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, IKM Besut, ILP Pedas, ILP Jitra, ILP Kota Bharu, ILP Kuantan, ILP Perai, ILP Selandar, ILP Kuala Terengganu, ILP Marang dan ILP Pasir Gudang.
Begitu juga Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman, KKTM Kuantan, Kolej Vokasional (KV) Kemaman, KV Dungun, KV Ampangan, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Pahang.
Bagi kategori sekolah pula, ia disertai Sekolah Kebangsaan (SK) Kijal, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, SMK Cukai, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kemaman, SM Sains Setiu, Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu dan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman.
Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dengan projek I-Emergency Grill memenangi Inovasi Terbaik (Sivil) sekali gus menerima hadiah RM300 dan projek Think Glob, Sekolah Menengah Sains Setiu memenangi Inovasi Muda kategori Sekolah seterusnya menerima RM500. – UTUSAN ONLINE











