JOHOR BAHRU 9 Mei – Idaman Corner di Taman Larkin Idaman di sini dibuka secara rasmi pada hari ini yang merupakan projek perintis bagi Program Usahawan Parlimen Johor Bahru (UPJB).
Program perintis itu merupakan kaedah penyelesaian bagi membantu peniaga kecil dalam di bandar raya ini mendapat kawasan sesuai untuk berniaga dengan lesen perniagaan yang sah.
Idaman Corner terdiri daripada lapan lot yang lengkap dengan gerai jualan itu akan diserahkan kepada peniaga tepi jalan yang sebelum ini mencari rezeki tanpa mempunyai lesen yang sah.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk program itu yang melibatkan pemberian tapak kepada lapan penjaja. Mereka ini juga telah berniaga bertahun-tahun di sekitar daerah ini tanpa lesen.
“Jadi antara isu yang menjadi pertikaian adalah tiada tempat untuk berniaga dan juga kos yang tinggi, jadi untuk tangani masalah ini, kita jumpa satu kawasan yang strategik iaitu ada kaki lima cukup luas serta mendapat kelulusan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir merasmikan pembukaan lot Idaman Corner Taman Larkin Idaman di sini hari ini.
Akmal berkata, sebagai permulaan juga, pihaknya akan memastikan peniaga di kawasan tersebut mendapatkan diskaun pembayaran tapak sekurang-kurangnya tiga bulan untuk memastikan perniagaan mereka stabil terlebih dahulu. – UTUSAN ONLINE











