PUTRAJAYA 9 Mei – Seorang Timbalan Pengarah Kanan sebuah jabatan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima dan memberi wang rasuah bernilai RM200,000.
Lelaki tersebut direman bersama empat lagi orang awam sehingga 13 Mei depan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.
Semalam, SPRM menahan kesemua suspek yang berumur antara 41 hingga 57 tahun itu di sebuah restoran sekitar Kuala Lumpur antara pukul 12.00 hingga 12.30 tengah malam.
Berdasarkan siasatan awal, timbalan pengarah kanan tersebut telah secara rasuah menerima wang berjumlah RM200,000 daripada kontraktor sebagai balasan memberikan kerja penambahbaikan infrastruktur di bawah seliaannya.
Sementara itu Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE











