Cermin gelap: Keputusan hasil kajian PDRM pada 2014 - Utusan Malaysia

Cermin gelap: Keputusan hasil kajian PDRM pada 2014

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 9 Mei – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, keputusan membenarkan penggunaan cermin gelap sepenuhnya pada kenderaan persendirian telah mengambil kira pelbagai pertimbangan dan faktor.

Malah katanya, keputusan yang berkuat kuasa semalam adalah bersandarkan maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap yang berlangsung pada Jun 2014.

“Kita masih mengekalkan rumusan daripada bengkel terbabit malah pindaan penggunaan cermin gelap pada sisi kiri dan kanan penumpang serta bahagian belakang adalah selari piawaian antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Banyak kereta import termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pelbagai guna (MPV) dari Jepun tidak melepasi piawaian kita dan disebabkan itu, pemilik kenderaan terpaksa menyewa cermin dengan kadar VLT mengikut piawaian di kedai aksesori kereta pada kadar RM800 semata-mata ingin melepasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias semalam dilaporkan berkata, peraturan baharu penggunaan cermin gelap kenderaan persendirian itu menyukarkan tugas penguatkuasaan, malah mendedahkan polis tidak dipanggil bagi membincangkan perkara berkenaan.

Selasa lalu, Anthony mengumumkan pindaan keatas peraturan cermin gelap di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang turut meliputi perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

Pemilik kenderaan boleh menggunakan lapisan filem atau cermin gelap hitam sepenuhnya berbanding peraturan sebelum ini yang menetapkan kadar ketelusan cahaya pada kadar 30 peratus.

Mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (pindaan 5 Februari 2016) memperuntukkan kadar ketelusan cahaya cermin depan ialah 70 peratus, cermin sisi pemandu (50 peratus), manakala cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus).

Pada masa sama, Anthony dilaporkan berkata, kerajaan turut memutuskan bayaran fi sebanyak RM5,000 akan dikenakan kepada setiap kelulusan yang ingin menggunakan cermin lebih gelap.

Dalam pada itu Anthony berkata, pelaksanaan fi bagi sebarang kelulusan itu dilaksanakan demi menjana pendapatan negara selain berupaya menangani risiko rasuah.

“Wujud sindiket didalangi orang dalam pejabat Menteri Pengangkutan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang mengambil ‘upah’ mencecah RM8,000 untuk mendapat kelulusan menggunakan cermin gelap atas faktor keselamatan.

“Justeru daripada kerajaan tidak dapat sebarang bayaran ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, sebaliknya menguntungkan sesetengah pihak sahaja, lebih baik kita kenakan bayaran fi terhadap pihak yang ingin menggunakan cermin gelap susulan faktor keselamatan,” katanya.

Sebelum ini bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mempersoalkan keputusan kerajaan mengutip RM5,000 bagi setiap kelulusan bagi permohonan cermin gelap. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini