Tiada yang menakjubkan - Utusan Malaysia

Tiada yang menakjubkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 9 Mei – Tiada perubahan drastik mahupun perkara yang menakjubkan terutamanya bagi meringankan bebanan kos sara hidup rakyat sepanjang setahun Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).

Demikian pendapat yang disuarakan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang melihat perkara itu terjadi ekoran ketidakseriusan kerajaan PH menunaikan janji-janji pilihan raya.

Menurutnya, kegagalan menepati janji selain beberapa polisi yang dilihat tidak menjamin kedudukan sosial rakyat khususnya berkaitan isu memelihara serta memartabatkan Islam turut menggusarkan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rata-rata rakyat kategori pertengahan dan bawahan mengeluh dengan suasana ekonomi yang muram, apatah lagi perkara berkaitan pengangguran pekerjaan, pendidikan percuma dan harga rumah yang melambung tidak ditangani dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ahmad Fakhruddin, ‘pencapaian’ 365 hari PH memerintah juga menjadi jenaka apabila terdapat dalam kalangan menteri yang memberi penarafan gred untuk diri mereka sendiri bagi menilai prestasi kerja.

“(Mereka) umpama seorang pelajar yang membuat soalan, kemudian dia menanda kertas, meletakkan markah dan dialah juga yang tandatangan buku rekod kemajuan sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, dalam konteks negeri ini pula, beliau berkata, tiada apa-apa perkara baharu yang diketengahkan oleh kerajaan PH, selain mereka hanya membentangkan jumlah pelaburan projek tertentu dengan nilai jutaan ringgit tetapi rakyat tidak merasainya.

“Bahkan rakyat terhimpit dengan masalah-masalah serius contohnya isu air di kawasan Merbok. Terkini, isu yang menjadi perdebatan antara kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dan kerajaan PH Kedah adalah berkenaan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

“Apakah pembinaan lapangan terbang tersebut akan menjadi suatu realiti ataupun menjadi satu lagi projek ‘U Turn’ kerajaan PH Kedah? Ini kerana kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang dilihat tidak begitu senang dengan hasrat kerajaan Kedah meneruskan projek itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini