KUALA LUMPUR 9 Mei – Tiga beranak berdepan detik hitam apabila diikat empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau di kediaman mereka di Beratok, Batu 21, Jalan Kuching-Serian, Sarawak, hari ini.
Memetik Portal Utusan Borneo, dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran keempat-empat suspek yang dipercayai memasuki rumah tersebut melalui dapur.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri warga emas bersama anak perempuan mereka yang berusia 37 tahun.
“Suspek yang berjaya memasuki rumah keluarga berkenaan kemudian terus ke bilik tidur anak pasangan terbabit dan mengacukan sebilah pisau sebelum mengumpulkan dan mengikat mereka menggunakan wayar pengecas telefon bimbit.
“Keempat-empat suspek kemudian menggeledah rumah berkenaan sebelum beredar melarikan barang-barang berharga dengan menggunakan kereta milik keluarga tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, keluarga terbabit yang berjaya melepaskan diri beberapa minit kemudian terus mendapatkan bantuan daripada jiran mereka dan segera melaporkan kepada polis.
Difahamkan antara barang-barang yang dilaporkan hilang ialah telefon pintar, barang kemas dan wang tunai.
“Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan hasil soal siasat mendapati seorang daripada suspek tidak bertopeng dan menggunakan dialek bahasa Malaysia tempatan semasa bercakap dengan mangsa.
“Manakala tiga lagi suspek menggunakan dialek yang tidak difahami,” jelasnya.
Menurut Aidil, kereta milik mangsa yang digunakan suspek untuk melarikan diri berjaya ditemukan di kawasan kebun di Tebedu, Serian kira-kira pukul 6 pagi.
Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











