KUALA LUMPUR 9 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Islam yang datang dari negara-negara Islam lain mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh ketika ramai orang Melayu kerap menuduh kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) ketika ini tidak mendaulatkan Islam.
Jelas Perdana Menteri lagi, di mana-mana juga di luar negara terdapat orang Islam yang pandang tinggi Malaysia sebagai negara Islam dan mereka menyatakan keinginan untuk melihat negara mereka menjadi seperti Malaysia.
“Orang Islam di negara-negara ini sering kagum dengan Islam di Malaysia. Mereka tidak mendakwa bahawa Islam tidak didaulat di Malaysia, yang menuduh hanya orang Islam di Malaysia sahaja.
“Sesungguhnya tuduhan yang dilempar terhadap kerajaan bukan kerana tidak mendaulat Islam, tetapi semata-mata kerana politik. Dalam usaha ini agama Islam yang suci menjadi buruk kerana kepentingan bukan agama,” katanya menerusi hantaran bertajuk “Mendaulatkan Islam” menerusi blog miliknya, chedet.cc semalam.
Dalam pada itu, menurut Dr. Mahathir, beliau mengalu-alukan dan menyokong penuh perhimpunan umat Islam yang bertujuan mempertahan kedaulatan Islam dan Perlembagaan.
Namun begitu, beliau mempersoalkan sama ada benar atau tidak tujuan perhimpunan itu adalah untuk mendaulatkan Islam atau bertujuan mendapat sokongan bagi parti-parti politik tertentu.
“Pertamanya yang memimpin dan berucap ialah pemimpin parti politik UMNO dan PAS dan akhbar melapor hasrat perhimpunan ialah untuk memperingati kerajaan akan kedudukan agama Islam.
“Jika ia bertujuan mendaulat Islam, sepatutnya ia tidak terhad kepada parti politik tertentu sahaja. Gandingan parti-parti ini tidak mencerminkan solidariti orang Islam, bahkan ia mengasing dan memisah umat Islam di Malaysia,” katanya.- UTUSAN ONLINE











