MELAKA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri sedang mengesan beberapa individu yang bergambar bersama bangkai seekor harimau dahan dan tular dalam laman sosial Facebook di Kampung Kemuning, Alor Gajah baru-baru ini.
Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Hasdi Husin berkata, kesemua individu terbabit diminta tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan mengenal pasti punca kematian haiwan dilindungi itu.
Katanya, pihak Perhilitan dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas ia tular dalam laman sosial dan sepasukan anggota diarahkan untuk menyiasat lokasi kejadian iaitu kawasan ladang sejak pukul 8 malam tadi.
“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai bangkai seekor harimau dahan atau nama saintifiknya `Neofelis nebulosa’ yang ditanam dan terdapat kesan kecederaan di kaki serta leher.
“Bangkai haiwan itu telah diambil untuk siasatan bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti penuh haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Hasdi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun sekiranya disabitkan kesalahan memburu tanpa permit khas.
Sebelum ini beberapa keping foto tular dalam laman sosial menunjukkan beberapa individu termasuk lelaki warga asing dan anggota pasukan keselamatan bergambar bersama bangkai seekor harimau dahan di satu kawasan ladang.
Dalam pada itu, beliau memberitahu harimau dahan adalah kategori haiwan jadual kedua yang dilindungi dan mana-mana pihak memiliki atau menyimpan objek haiwan tersebut seperti kuku, taring, kulit dan sebagainya boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen yang sama.
“Saya menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung foto tersebut untuk tampil memberikan maklumat kepada Jabatan Perhilitan bagi membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE











