Polis Marin tahan 43 PATI - Utusan Malaysia

Polis Marin tahan 43 PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 9 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Perak menahan 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai mahu pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan dalam Op Landai di kawasan semak paya bakau Parit 14 Baroh, Hutan Melintang di sini semalam.

Serbuan yang dijalankan PPM Wilayah Satu Kampung Acheh, Sitiawan membabitkan Unit Risikan Marin, bot ronda PSC 16 dan turut mendapat kerjasama daripada anggota Balai Polis Hutan Melintang dan Balai Polis Rungkup.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Satu Kampung Achech, Deputi Superintenden Jafri Ahmad berkata, pihaknya berjaya menahan 43 warga asing yang terdiri daripada 12 perempuan, 29 lelaki dan dua kanak-kanak yang kesemuanya merupakan warga Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan mendapati 29 daripada mereka memiliki dokumen pengenalan diri tamat tempoh manakala 14 lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka dipercayai akan keluar untuk balik ke negara asal melalui jalan yang tidak diwartakan untuk menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri. Mereka juga dipercayai telah diuruskan oleh sindiket penyeludupan pati secara haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut, kesemua mereka telah ditahan dan pasport dirampas serta dibawa pulang ke Balai Polis Hutan Melintang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 5(a) Akta Imigresen 1959/63 dan Sekyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Jafri, PPM mengalukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang di kawasan persekitaran mereka terutamanya kes yang melibatkan aktiviti keluar masuk PATI. – UTUSAN

ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini