TT Vision peruntuk lebih RM4 juta capex besarkan kilang - Utusan Malaysia

TT Vision peruntuk lebih RM4 juta capex besarkan kilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mei – TT Vision Holdings Bhd. memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) lebih RM4 juta pada tahun ini untuk memperluas kilangnya di tanah seluas 0.81 hektar di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kilang pembuatan peralatan visi mesin itu ketika ini pada fasa keempat pengembangannya dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya menjelang suku ketiga 2019.

Pengerusi Eksekutifnya, Goon Koon Yin berkata, pengembangan itu akan meningkatkan jumlah keluasan lantai kilang tersebut kepada 53,000 kaki persegi berbanding 22,000 kaki persegi selain meningkatkan kapasiti operasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa ini, kami menggunakan 80 peratus kapasiti daripada pelan pembuatan semasa dan sudah tiba masanya kami mengembangkan kemudahan ini selepas menerima permintaan lebih tinggi bagi produk kami dari dalam dan luar negara,” katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa penyenaraian syarikat itu di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia hari ini, Goon berkata, pihaknya juga akan menggunakan capex untuk memperkukuh pusat penyelidikan dan pembangunannya bagi memperkenalkan produk dan peralatan baharu di pasaran.

Sementara itu, syarikat itu juga merancang menembusi pasaran luar negara termasuk Taiwan dan negara Kesatuan Eropah. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini