MILAN 9 Mei – Andriy Shevchenko mendedahkan cita-citanya untuk mengendali AC Milan pada masa akan datang namun terus memberikan sokongan kepada bekas rakan sepasukan, Gennaro Gattuso.
Shevchenko menjuarai Serie A dan Liga Juara-Juara (UCL) sementara beberapa gelaran ketika beraksi di Milan, malah turut muncul sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman bersama kelab tersebut.
Penolong jurulatih skuad Ukraine itu, ingin mengikut jejak langkah Gattuso, Filippo Inzaghi dan Clarence Seedorf menjadi pengurus Milan.
“Milan adalah kelab yang sebahagian daripada hidup saya. Bagaimanapun, saya mempunyai tugas bersama skuad Ukraine dan Gattuso sudah melakukan tugas yang baik.
“Mungkin satu hari nanti, giliran saya pula mengendalikan Milan,” katanya.
Berbaki tiga perlawanan liga, Milan yang menghuni tangga kelima sedang bergelut untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan dan mereka memerlukan kemenangan dalam semua perlawanan tersebut. – AGENSI











