JOHOR BAHRU 9 Mei – Agensi penguatkuasaan di bandar raya ini perlu mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan.
Sekiranya tindakan sedemikian diambil, masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandar raya ini akan dapat diatasi.
Pengerusi Persatuan Bekas-Bekas Polis Kanan Negeri Johor, Datuk A. Sabapathy berkata, langkah itu perlu dilakukan segera kerana kesesakan di bandar raya ini semakin teruk.
“Setiap hari khususnya pada waktu puncak, jalan-jalan di bandar ini akan sesak kerana banyak kereta diletakkan di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Sehubungan itu saya berharap pihak berwajib akan melakukan penguatkuasaan sepenuhnya agar mendidik masyarakat menjadi pengguna jalan raya yang berhemah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini sebentar tadi.
Beliau juga berharap pihak berwajib akan bertindak tegas dengan memberi saman atau menunda kenderaan yang diletakkan di tempat larangan, khususnya di bahu jalan.
“Selain menyebabkan kesesakan, tindakan tidak bertanggungjawab itu turut mencacatkan pemandangan bandar raya ini,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











