RCI Wang Kelian: Malaysia tahu awal dari Thailand - Utusan Malaysia

RCI Wang Kelian: Malaysia tahu awal dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 9 Mei- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengetahui lebih awal berbanding pihak berkuasa Thailand mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak mengumumkan perkara tersebut atas permintaan rakan sejawatnya dari Thailand yang mahu mendedahkan perkara itu terlebih dahulu.

Perkara itu dimaklumkan Aliza Shah Muhamad Shah pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aliza Shah yang merupakan saksi ke-24 berkata, beliau pada 10 Oktober 2015 telah berjumpa dengan Khalid untuk mengajukan soalan-soalan mengenai kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

“Soalan yang diajukan kepada Khalid adalah berdasarkan maklumat yang kami terima iaitu betul atau tidak Malaysia sudah mengetahui mengenai kem dan kubur itu pada Januari 2015 iaitu lebih awal daripada Thailand.

“Sebelum itu, saya ada menghubungi Khalid melalui Whatsapp namun tidak dibalas, ketika berjumpa pada 10 Oktober juga beliau meminta saya memadamkan rakaman sebelum jawap soalan,” katanya dalam prosiding RCI di sini, hari ini.

Aliza Shah yang ketika itu wartawan New Straits Times berkata, jawapan yang diberikan oleh Khalid ketika itu ialah ‘memang betul kita jumpa kem awal serta kubur berkenaan lebih awal dan ada perjanjian dengan Thailand untuk mereka dedahkan dahulu’.

Selain itu katanya, Khalid juga turut meminta agar jawapan itu tidak dilaporkan dalam akhbar kerana khuatir rakan sejawatnya dari Thailand marah dan untuk rekod Thailand mendedahkan penemuan kem dan kubur di sempadan pada 1 Mei 2015.

“Pada pertemuan itu juga, Khalid menjelaskan mengapa beliau tidak menjawap soalan saya melalui Whatsapp iaitu tidak mahu jawapan di ‘screen shot’ dan disebarkan kepada orang lain,” katanya kepada panel RCI yang dipengerusikan oleh Tun Arifin Zakaria.

Ketika ditanya mengapa beliau bertanyakan soalan sedemikian kepada Khalid, Aliza Shah berkata, pihaknya mahukan kepastian kerana dalam sidang akhbar pada 25 Mei 2015, bekas Ketua Polis Negara itu menafikan mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, saksi ke-23, Farrah Naz Abdul Karim berkata, beliau ada menerima surat dari Pejabat Ketua Polis Negara pada 2018 agar tidak membuat sebarang susulan berita mengenai penemuan kem penempatan dan kubur di Wang Kelian.

Farrah Naz yang merupakan Pengarang NSTP-TV berkata, laporan berita yang dibuat New Straits Times berdasarkan siasatan termasuk selepas pertemuan dengan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Selepas siri laporan akhir mengenai kem penempatan dan kubur disiarkan pada 20 Disember 2017. Saya telah dipanggil untuk berkongsi maklumat dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini