BARCELONA 9 Mei – Sedih, kecewa dan marah nampak masih dirasai penyokong Barcelona apabila sekumpulan penyokong kelab itu, mencaci Lionel Messi sebaik sahaja dia tiba di Lapangan Terbang John Lenon selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.
Liverpool mara ke final selepas mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan menjaringkan empat gol di Anfield, awal pagi Rabu menjadikan aggregat 4-3.
Messi mempamerkan aksi cemerlang ketika Barcelona menang 3-0 pada aksi separuh akhir pertama di Camp Nou tetapi dia gagal menyerlah ketika beraksi di laman lawan.
Kapten Barcelona itu dilihat mengalirkan mata sebaik sahaja pengadil Cuneyt Cakir meniupkan wisel penamat sekali gus menyaksikan kelabnya buat kali kedua berturut-turut disingkirkan di pentas separuh akhir UCL dengan begitu kejam.
Musim lepas, The Catalan mengalami nasib sama apabila melakar kemenangan 4-1 di laman sendiri sebelum tewas 0-3 kepada AS Roma di Stadio Olimpico menyaksikan mereka gagal mara ke pentas final, disebabkan kelab Serie A itu memiliki kelebihan jaringan tempat lawan.
Selepas perlawanan, Messi diarahkan untuk menjalani ujian doping dan dia turut ditinggalkan bas membawa pasukan Barcelona keluar dari perkarangan stadium Anfield.
Sebaik sahaja Messi tiba di lapangan terbang selepas memberikan sampel urin, dia didatangi sekumpulan penyokong Barcelona yang bertindak memakinya.
Menurut El Chiringuito TC, salah seorang penyokong berteriak: “Messi anda kapten! Anda bertanggungjawab!”.
Mundo Deportivo melaporkan Messi turut diboo dan dikecam ketika dia meninggalkan lapangan terbang.
Pepe Costa, Pengarah Bahagian Pemain Barcelona turut terlibat dalam kekecohan yang dicetuskan penyokong yang berang sebelum situasi itu berjaya dikawal. – AGENSI











