ALOR SETAR – Tidak mahu lagi anak-anak muda Kedah berhijrah ke negeri-negeri lain demi mencari kerja, merupakan antara harapan utama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sepanjang beliau menerajui kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
Mukhriz berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, beliau sering mengingatkan barisan exco serta jentera kerajaan negeri supaya meningkatkan usaha dan merancang suatu pelan yang mampu memberi manfaat dan faedah jangka masa panjang untuk rakyat.
“Rakyat perlu rasa manfaat itu sekarang dan nampak (usaha kerajaan), kita tidak mahu lagi anak-anak Kedah berhijrah untuk cari rezeki, mereka perlu duduk bersama keluarga dan mendapat gaji yang lumayan dan mempunyai kualiti hidup yang bagus di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu temu bual khas sempena setahun pentadbiran PH di Kedah di kediaman rasminya di Sri Mentaloon di sini, baru-baru ini.
Bagi memastikan peluang pekerjaan meningkat di Kedah, Mukhriz berkata, beliau memberi tumpuan kepada sektor pelaburan yang inklusif dan menolak sebarang bentuk pelaburan yang boleh membebankan kerajaan negeri.
“Ia bukanlah pelaburan jika (membawa masuk) projek pembangunan infrastruktur seperti tambak laut buat perumahan atau landasan keretapi… bukan itu yang kita nak bawa ke Kedah, di sini nak buka kilang kena sedia peluang pekerjaan, itu erti pelaburan yang sebenar,” kata Mukhriz.
Beliau berkata, bagi memastikan anak muda mendapat peluang pengajian lebih baik serta menepati kehendak pemain industri di Kedah, kerajaan negeri kini dalam usaha untuk menarik mana-mana universiti yang menawarkan jurusan kejuruteraan untuk membuka cawangannya di Alor Setar.
“Kerajaan negeri juga ada berurusan melalui Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk kenal pasti beberapa universiti di Jepun yang berminat untuk membuka cawangannya di Kedah dan setakat ini memang sudah ada yang menunjukkan minat mereka untuk ke sini,” katanya.
Beliau berkata, walaupun UUM berteraskan kepada universiti pengurusan, adalah tidak mustahil baginya untuk menawarkan pengajian dalam bidang teknikal atau kejuruteraan, malah ia dilihat akan memberi nilai tambah kepada universiti itu.
“Saya sering tekankan bahawa paling penting jurusan yang nak ditubuhkan di mana-mana universiti di negeri ini, mesti menepati permintaan pasaran iaitu pihak industri dan lebih baik melibatkan industri dalam akademik. – Bernama











