KUALA LUMPUR – Pengendali Felda United, Mohd. Nidzam Jamil mengesahkan pasukannya sudah menandatangani penyerang kelahiran Singapura, Khairul Amri Mohd. Kamal untuk membantu skuad ‘The Fighters’ mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Katanya, hasrat untuk membawa pemain berusia 34 tahun itu ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang akhirnya terlaksana meskipun berdepan saingan sengit memandangkan beberapa pasukan Liga M turut memburu khidmat Khairul Amri pada jendela perpindahan kedua bulan ini.
“Saya gembira apabila kami berjaya menandatangani khidmat Khairul Amri pada jendela perpindahan kali ini dan secara peribadi, saya akui sangat berminat dengan corak permainan serta pengalaman dimilikinya.
“Saya berharap Khairul Amri dapat membantu Felda United merealisasikan misi pasukan untuk kekal dalam kancah Liga Super serta mara ke pusingan separuh akhir Piala FA nanti.
“Secara jujur, dia boleh memberi kami pengalaman sewajarnya memandangkan pasukan kami sebahagian besar diwakili pemain muda. Meskipun dia boleh dianggap pemain veteran, dia masih lagi salah seorang penyerang yang memiliki kredibiliti di rantau Asia Tenggara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Nidzam turut mengakui pasukannya masih giat menjalani sesi latihan seperti biasa menjelang perlawanan penting suku akhir kedua Piala FA menentang Kuala Lumpur di laman sendiri pada Sabtu ini.
“Bulan Ramadan tidak menghalang barisan pemain memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan kerana kita bakal mengharungi aksi bertemu Kuala Lumpur pada Sabtu ini yang dianggap masih 50-50.
“Selepas meraih keputusan 3-3 di tempat lawan, pasukan memiliki keyakinan untuk melakar kemenangan tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak,” katanya. – K! ONLINE











