SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT desakan daripada majikan di sektor pengangkutan dan logistik supaya kerajaan membenarkan warga asing diambil bekerja sebagai pemandu kenderaan berat seperti bas dan trak di negara ini.
Harus diakui, sektor pengangkutan dan logistik mengalami kekurangan pemandu terlatih sekali gus boleh menjejaskan operasi dan produktiviti negara. Seringkali pihak pengusaha bas ekspres dan bas henti-henti mengeluh mengenai kesukaran mendapatkan tenaga kerja dalam sektor ini. Khidmat pemandu muda juga sangat diperlukan bagi membolehkan mereka bertugas dalam laluan berjarak jauh serta sebagai pelapis kepada pemandu veteran yang akan bersara pada suatu masa kelak.
Namun begitu, cadangan untuk membenarkan warga asing memandu kenderaan berat di jalan raya perlu diperhalusi dengan mendalam. Cadangan ini juga seolah-olah tidak selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan terutama Perdana Menteri yang mahu rakyat tempatan terutama golongan belia mengambil alih pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja asing. Memadailah membenarkan warga asing berstatus penduduk tetap memandu kenderaan berat di negara ini tanpa perlu kita membawa masuk pekerja asing baharu. Pekerjaan sebegini memerlukan kemahiran tinggi serta menawarkan pendapatan yang agak lumayan khususnya untuk pemandu trak dan lori kontena. Justeru, ia wajar dikhaskan untuk warganegara sahaja.
Beberapa langkah boleh diambil bagi menarik rakyat tempatan terutama belia yang masih menganggur menceburi bidang ini. Langkah pertama ialah dengan mengurangkan kos untuk memperoleh lesen memandu kelas E dan lesen memandu vokasional (VKL) yang ketika ini masih agak tinggi dan begitu membebankan golongan belia yang masih baharu mencari pekerjaan. Pemberian diskaun dan rebat amat dialu-alukan bagi meringankan beban mereka yang berminat. Kementerian Pengangkutan sebelum ini pernah melaksanakan satu inisiatif dipanggil MyLesen yang menawarkan pakej kadar bayaran yang lebih rendah buat warganegara untuk memiliki Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) dan kelas E bersendi.
Seterusnya jumlah pusat latihan kemahiran GiatMara yang menawarkan kursus kenderaan perdagangan perlu ditambah terutama di negeri-negeri Pantai Timur. Promosi perlu dibuat kepada belia yang menganggur dan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada di luar bandar serta tidak berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi. Kerajaan juga dicadangkan agar mewujudkan Akademi Pemanduan Bas dan Trak bersepadu yang moden seperti dimiliki oleh RapidBus Sdn. Bhd. di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sebagai tambahan, silibus latihan moden boleh digubal oleh akademi bersepadu ini bagi melahirkan kapten bas dan trak yang berketerampilan, kompeten serta mampu berkomunikasi dengan baik. Sudah tiba masanya kerjaya sebagai kapten bas dan pemandu trak dinaikkan prestijnya.
Akhir sekali, kerjasama daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) boleh ditagih bagi menggalakkan bekas tentera yang berpengalaman memandu kenderaan tentera menceburi bidang ini selepas bersara awal daripada perkhidmatan. Ramai dalam kalangan pesara tentera berusia di awal 40-an dan masih mampu menyumbang tenaga untuk membangunkan negara.
M. FAISAL
Kuala Lumpur











