MUKADIMAH
MASIH mengharap dan menunggu ‘pelaburan’ undi yang dibuat pada 9 Mei 2018, itulah barangkali situasi rakyat berhadapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan gagal memenuhi janji-janji utama manifesto mereka selepas setahun berkuasa hari ini.
Dalam wawancara dengan penganalisis politik, JAILANI HARUN baru-baru ini, Presiden UMNO, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI tidak menolak cakap-cakap bahawa PH akan menjadi ‘kerajaan sepenggal’.
Tegas Ahmad Zahid, jika kerajaan PH masih terus berdolak-dalik menyalahkan kerajaan terdahulu sedangkan soal rakyat tidak diberi perhatian, tidak mustahil pengundi pasti menunjukkan kembali kuasa rakyat mereka.
Setahun selepas Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14, apa sorotan dan penilaian Datuk Seri terhadap kerajaan baharu ini?
AHMAD ZAHID: Jawapannya ada pada rakyat, terutama mereka yang mengundi kerajaan baharu ini. Harapan mereka untuk mengecap kenaikan taraf hidup dan pelbagai dorongan yang dijanjikan dalam manifesto mereka, ternyata menghampakan. Saya tidak ingin membuat penilaian secara khusus, biarlah rakyat yang menentukannya. Rakyatlah yang berkuasa.
Adakah Datuk Seri sendiri puas hati dengan apa yang dilakukan kerajaan PH setakat ini?
Sama sekali tidak. Mereka sering menggunakan helah ‘baharu’, misalnya menteri baharu, kerajaan baharu, kabinet baharu dan sebagainya untuk menangkis kelemahan yang ada. Namun, harus diingat bahawa di banyak negara, kerajaan baharu cuma memerlukan sebulan dua untuk menunjukkan pencapaian. Ini tidak. Sebaliknya mereka terus menyalahkan kerajaan silam bagi mengaburi mata rakyat terhadap kekalutan yang mereka hadapi sendiri.
Tidakkah UMNO dan BN sendiri boleh bekerjasama dalam urusan tertentu kerana mereka memiliki pengalaman 61 tahun memimpin negara?
Kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir ingin menggunakan cara mereka sendiri untuk mentadbir hal-ehwal ekonomi, pelaburan, dasar luar, pendidikan dan lain-lain. Mereka belum berhenti menuduh secara membuta tuli kerajaan BN, seolah-olah merekalah kerajaan terbaik dunia yang bebas daripada sebarang rasuah dan salah laku. Mereka mendabik dada seolah-olah mereka ini ‘kerajaan malaikat’.
Jadi, bentuk kerjasama apakah yang dapat kami hulurkan sedangkan mereka mengamalkan corporate and legalistic entity, iaitu semua yang mereka buat adalah betul. Jika boleh, mereka mahukan sebuah negara satu parti.
Bagaimana pula dengan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar yang dijanjikan? Ada berpendapat mereka lebih baik daripada zaman BN?
Dr. Mahathir melompat daripada zaman analog ketika menjadi PM ke-4 kepada alam siber sebagai PM ke-7. Sebagai PM ke-4 pun beliau menutup beberapa akhbar dan mengawal liputan akhbar lain secara ketat. Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan sepenuhnya terhadap penentang kerajaan. Malah Akta Hasutan diperkenalkan di zamannya. Di bawah pentadbiran selepasnya, hal ini tidak berlaku, ISA dihapuskan dan akta yang ada dilonggar atau diperketatkan bagi mengawal keharmonian negara, jenayah dan pemerdagangan manusia. Begitu juga dengan dadah dan senjata api. Ini semua untuk kesejahteraan negara dan bukannya untuk menutup mulut para pengkritik.
Tetapi selepas menjadi PM ke-7, akta seperti SOSMA dan POTA dihapuskan, Akta Hasutan juga mungkin dihapuskan, begitu juga hukuman mati. Ada antara tindakan ini mulai meningkatkan prejudis kaum dan agama. Lihat saja penghinaan terhadap Islam yang berlaku dalam media sosial sejak akhir-akhir ini. Ada juga yang berani menghina raja-raja Melayu. Paling menghampakan, hukuman ke atas pihak terbabit dibuat sekadar melepaskan batok di tangga.
PH meminta agar mereka diberikan enam bulan lagi seperti disebut oleh Tun Daim Zainuddin dan Gobind Singh Deo baru-baru ini. Pandangan Datuk Seri?
PH setakat ini gagal kerana langkah politik yang salah dan songsang. Pendekatannya menyalahkan kerajaan terdahulu secara berterusan memakan diri sendiri apabila ia pula seolah-olah membina tanggapan mereka pula ingin menjual negara kepada kuasa asing. Kegagalannya menunaikan janji manifesto dalam 100 hari sudah pun diketahui rakyat. Apa yang rakyat hadapi sekarang ialah kemerosotan nilai kehidupan berikutan pelaksanaan over-zealous sistem cukai SST dan dasar fiskal yang lemah.
Dr. Mahathir ada menyebut bahawa ketidakmampuan kerajaan menunaikan semua janjinya sekali gus adalah kerana kedudukan kewangan yang menipis. Datuk Seri setuju?
Ini semua helah. Dunia mengakui hutang negara setakat April 2018 adalah RM686 bilion tetapi PH sengaja menipu angka ini sebagai RM1 trilion bagi menampakkan betapa buruknya kerajaan terdahulu. Namun laporan audit mendedahkan penipuan ini. Saya bimbang kerajaan PH akan menjejaki kisah the boy who cried a werewolf. Ini terbukti apabila pembohongan mereka mengenai ekonomi, kewangan dan dasar pelaburan negara mulai ditolak oleh banyak agensi penarafan dan firma aset utama dunia. Pelabur asing juga mulai menjauhkan diri dari Bursa Malaysia apabila ia mencatat kerugian RM70 bilion setakat Februari lalu. Pernahkah ini terjadi di zaman BN?
Dalam erti kata lain, Datuk Seri merumuskan bahawa negara lebih makmur di bawah UMNO dan BN?
Biarpun PH menuduh kerajaan BN korup dan dijangkiti pelbagai skandal, misalnya 1MDB, rakyat hidup makmur, pelabur memenuhi bursa saham, modal asing mencurah masuk, semua kaum dan agama dipelihara kepentingan mereka dan peniaga dapat menjalankan urus niaga dengan aman dan mengaut untung lumayan. Tetapi apa yang berlaku sejak setahun PH memerintah? Tak perlulah saya huraikan tetapi isu Tabung Haji, MAS, ECRL, HSR, TRX dan yang lain-lain adalah bukti betapa dasar yang digubal oleh BN selama puluhan tahun dimusnahkan dalam sehari oleh PH. Permodalan Nasional Berhad yang tidak pernah rugi di bawah BN, kini kerugian lebih RM6 bilion di bawah mereka.
Sejak akhir-akhir ini, sering kedengaran cakap-cakap bahawa PH akan menjadi kerajaan sepenggal.
Bukan kami yang memulakannya tetapi rakyat. Ada betulnya jika mereka masih terus bersikap angkuh dan merapu dalam banyak hal, misalnya tol percuma waktu malam, kemerosotan nilai ringgit disebabkan oleh Donald Trump, kerja waktu malam…banyak lagi, sedangkan soal rakyat tidak diberi perhatian. Dalam soal ini, rakyat yang menaikkan mereka dan rakyatlah yang berhak menurunkan mereka. Ini kuasa rakyat. Saya yakin kalau PRU diadakan sekarang, mereka akan tersungkur. Kita sudah saksikan bantahan rakyat di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. Ini suara protes, inilah yang meyakinkan BN.











