BARCELONA 8 Mei -Pasukan Ferrari akan mempertingkatkan enjin jentera mereka bagi memastikan dominasi Mercedes berakhir menjelang perlumbaan di Grand Prix (GP) Sepanyol, hujung minggu ini.
Mercedes jelas cukup sukar digugat apabila mendominasi kedudukan satu, dua dalam empat perlumbaan musim ini dengan masalah kesilapan pemandu menggagalkan peluang Ferrari.
Enjin baharu dengan penggunaan bahan api baru yang akan meningkatkan tahap prestasi dan rekaan aerodinamik turut dipertingkatkan.
Keputusan terbaik Ferrari musim ini adalah tiga kali menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas tiga perlumbaan.
Bos pasukan Ferrari, Mattia Binotto berkata pasukannya akan bangkit memberi cabaran kepada Mercedes dalam perlumbaan paling berprestij itu melibatkan jentera paling pantas di muka bumi.
Jelasnya, enjin yang dipertingkatkan prestasi itu pada asalnya dijadual untuk digunakan pada GP Kanada, bulan depan namun mengambil keputusan untuk digunakan pada perlumbaan terdekat ini.
“Kami melakukan usaha berpasukan dan mengambil kata putus untuk membawa perkembangan terbaru itu dengan lebih cepat minggu ini.
“Kami telah ketinggalan dalam saingan kejuaraan dan perlu mengejar semula. Ia bermakna potensi enjin baru itu akan menjadi bukti perkembangan kompetitif musim ini,” katanya. – AGENSI











