Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM13.1 juta - Utusan Malaysia

Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM13.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 8 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah lebih RM13.1juta hari ini.

Keberangkatan baginda dalam majlis di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Bayaran zakat itu melibatkan syarikat Kumpulan DRB-Hicom yang membayar zakat sebanyak RM4.63 juta; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) (RM2.85juta) dan Syarikat Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (RM2.75juta).

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, Bank Islam Malaysia Berhad membayar RM1.21juta; UMW Holdings Berhad (RM1.16juta) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) (RM500,000).

Pembayaran tersebut merupakan zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Baginda juga berkenan berbuka puasa bersama rakyat dan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim; .

Pada majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 543 penerima yang terdiri daripada 72 asnaf fakir; 394 orang miskin serta 77 asnaf mualaf.

Kesemua penerima menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap orang membabitkan jumlah zakat sebanyak RM271,500.

Dalam pada itu, Mohammed Khusrin ketika berucap sempena majlis itu menyatakan tahun 2018 merupakan pencapaian yang sangat positif untuk MAIS, agensi- agensi agama dan anak syarikat MAIS.

“Penyata kewangan MAIS yang berakhir pada 31 Disember tahun lalu telah menunjukkan pendapatan keseluruhan melibatkan wang baitulmal, zakat, wakaf dan syarikat subsidiari di bawah MAIS ialah sebanyak RM1.1 bilion,” katanya .- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini