KUCHING 8 Mei – Sarawak merekodkan hasil sebanyak RM2.219 bilion bagi suku pertama tahun ini, disumbangkan terutamanya daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas, menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh.
Beliau berkata jumlah itu membabitkan 21.1 peratus daripada RM10.513 bilion sasaran hasilnya bagi tahun itu dengan kutipan hasil yang dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini.
“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa akaun kewangan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2018 sekali lagi dikategorikan sebagai laporan lengkap.
“Ini adalah tahun ke-17 berturut-turut kerajaan negeri memperoleh pujian dan pengiktirafan,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata RM2.874 bilion atau 27.7 peratus daripada perbelanjaan biasa sebanyak RM10.390 bilion telah dibelanjakan pada suku pertama tahun ini.
Wong berkata daripada jumlah itu, RM0.799 bilion melibatkan perbelanjaan operasi manakala baki RM2.075 bilion lagi diperuntukkan untuk Akaun Dana Pembangunan.
Bagi perbelanjaan pembangunan, RM1.691 bilion atau 18.6 peratus daripada peruntukan yang diluluskan sebanyak RM9.073 bilion telah dibelanjakan bagi suku pertama tahun ini, katanya.
Perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat secara progresif sejajar dengan aktiviti yang berterusan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata di bawah Pelan Rancangan Malaysia ke-11 (11MP), kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM37.1 bilion untuk melaksanakan 1,424 program dan projek di negeri ini.
Daripada jumlah itu, 911 merupakan projek fizikal, manakala baki 513 projek lagi ialah projek bukan fizikal.
Sehingga Mac 2019, 329 daripada 911 projek fizikal telah siap manakala 582 projek lagi masih di pelbagai peringkat pelaksanaan.
Bagi projek yang dibiayai kerajaan persekutuan, beliau berkata sebanyak RM17.2 bilion telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan untuk melaksanakan pelbagai program dan projek di Sarawak di bawah 11MP.
Wong berkata, dengan jurang pembangunan di Sarawak, jumlah tersebut adalah kurang daripada mencukupi untuk membangunkan negeri itu agar setanding dengan negeri lain di Semenanjung.
“Kita mesti menerima dana pembangunan persekutuan yang adil dan saksama dan kerajaan persekutuan juga perlu mengambil maklum terhadap sumbangan penting Sarawak, dari segi kutipan cukai dan hasil minyak dan gas kepada tabung kerajaan persekutuan,” katanya.- BERNAMA











