SEBAGAI sebuah negara berbilang bangsa, tentunya menu yang disajikan di Melting Pot Cafe, Hotel Concorde, Kuala Lumpur turut mewakili pelbagai kaum. Ia merupakan satu keunikan apabila aneka sajian tersebut dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa.
Kepelbagaian itu menerusi penggunaan bahan asas masakan iaitu rempah ratus utama yang menjadi pilihan cef khusus untuk bufet Ramadan bertemakan ‘Citarasa 6 Sekawan’.
Seramai 30 kakitangan dapur menggunakan secara bersama atau berasingan rempah enam sekawan iaitu lada hitam, buah keras, buah pelaga, bunga cengkih, kulit kayu manis dan bunga lawang ke dalam masakan.
Antara masakan yang dihidangkan adalah ikan bawal masak kicap berempah, asam pedas ikan tenggiri dan ikan bakar percik.
Menu masakan Cina dan India yang dihidangkan pula adalah kambing varuval, siew mai ayam, lala kam heong dan kari kepala ikan menggunakan resipi asli dari India tanpa santan.
Bukan sahaja menyediakan hidangan tradisional tiga kaum utama negara ini, malah bufet Ramadan di kafe itu juga menampilkan kelainan apabila menyajikan makanan Indonesia iaitu masakan Padang seperti ayam pop, daging dendeng kering balado merah, sotong kalio, gulai ikan masak lemak dan gulai sayur kapau.
Bagi penggemar masakan Thailand, mereka tidak perlu gusar apabila rakan-rakan mengajak berbuka puasa di hotel ini kerana aneka makanan dari negara itu turut boleh dinikmati, antaranya ikan kukus ala Thai dan ayam panggang Thai.
Pengunjung pasti akan rambang mata kerana pihak hotel turut menampilkan makanan Jepun iaitu sushi dan sashimi selain terdapat lapan stesen ‘live cooking’ bagi masakan teppanyaki, roti john, tosai, onde-onde dan apam balik.
Tidak ketinggalan semestinya kambing bakar merupakan menu wajib yang dinantikan oleh pengunjung selepas seharian menahan diri daripada lapar dan dahaga. Bagi menjamin kualiti hidangan ini, Eksekutif Sous Cef, Dzulkarnain@ Jol Salleh akan memastikan anak buahnya membakar daging kambing dengan api yang perlahan.
“Tidak dinafikan kaedah ini mengambil masa yang lama untuk hidangan dibakar sepenuhnya tetapi kualitinya sangat baik,” katanya.
Tambah Dzulkarnain, sepanjang Ramadan ini pihak hotel menawarkan lebih daripada 160 jenis juadah berbuka puasa.
Pengunjung boleh menikmati bufet Ramadan pada harga RM138 (dewasa) manakala diskaun 50 peratus akan diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.
Pihak hotel turut menawarkan potongan harga iaitu RM118 bagi tempahan awal dan untuk tempahan berkumpulan atau korporat pula, harga bufet adalah RM98 seorang.
Tarikh yang boleh ditempah bagi kumpulan dan korporat adalah di antara 20 hingga 24 Mei dan 27 hingga 31 Mei.
Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan, boleh hubungi Melting Pot Cafe di talian 03-27172233.











