Sindiket jual PLKS palsu tumpas, dalang ditahan - Utusan Malaysia

Sindiket jual PLKS palsu tumpas, dalang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mei.- Satu sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu tumpas selepas Jabatan Imigresen menahan seorang warga Myanmar dalam satu operasi di ibu negara semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Dzaimee Daud berkata, lelaki berusia 21 tahun yang ditahan itu merupakan dalang utama sindiket ini.

Ujarnya, selain suspek, turut ditahan iaitu seorang lagi lelaki yang juga berasal dari negara sama dipercayai pelanggannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini beroperasi mengeluarkan PLKS secara tidak teratur dengan menggunakan kelulusan kuota pekerja asing palsu selain mengeluarkan surat Visa Dengan Rujukan (VDR) tidak teratur.

“Hasil risikan mendapati sindiket dikesan mula bergiat aktif sejak Februari lalu dengan mengenakan bayaran RM6,500 bagi permohonan baharu sektor perkhidmatan dan pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dzaimee memberitahu, sindiket ini turut didapati mengenakan bayaran RM5,500 bagi permohonan baharu melibatkan lain-lain sektor termasuk Fomema.

“Selain itu, sebanyak RM2,350 dan tambahan RM600.00 bagi permohonan lanjutan dan fomema

“Hasil penahanan lelaki ini, kita turut berjaya menyerbu sebuah lokasi yang dipercayai menjadi pusat operasi sindiket itu dan di situ sebanyak dua set komputer, komputer riba (1), 48 cop pelbagai syarikat, selain 213 pasport pelbagai warganegara dan wang tunai RM8,000 ditemukan,” jelasnya.

Tambah Dzaimee, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan yang digunakan oleh anggota sindiket ini.

“Tangkapan ke atas suspek pertama dibuat mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966, manakala suspek kedua mengikut Seksyen 56(1)(A)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jabatan Imigresen akan terus memburu sindiket atau individu yang terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang,” tegasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini