KUALA LUMPUR 8 Mei – Kalangan syarikat terutama yang terbabit dalam industri pembuatan elektrik dan elektronik, digesa mengamalkan pembuatan pintar khususnya di bahagian operasi bagi meraih manfaat pendigitalan, kata Presiden SEMI Southeast Asia Ng Kai Fai.
Beliau berkata, seiring Revoulisi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), aspek pendigitalan dalam perniagaan juga penting bagi memastikan syarikat tersebut dapat mendahului pesaing dan pada masa sama mampu mengurangkan kos pengeluaran, mempertingkat produktiviti serta pulangan.
Menurutnya, setakat ini pelaksanaan pembuatan pintar yang serba sofistikated itu hanya bertumpu di peringkat utama atau hadapan perniagaan ketika syarikat mulai memahami keperluan teknologi dalam operasi balik tabir syarikat serta mula melabur dalam aspek itu.
“Pelaksanaan aspek automasi, data, sistem perancangan serba maju, kecerdikan buatan serta teknologi lain hanya menjadikan pembuatan yang lebih pintar.
“Ini bermakna kurangnya interaksi manusia (dalam keseluruhan proses) dan semua perkara (termasuk kesilapan) dapat dikesan dari awal hingga akhir proses. Oleh itu, adalah penting untuk syarikat melaksanakan pembuatan pintar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi kunjungan media ke pavilion kilang pintar yang memaparkan kelengkapan pintar, robotik dan automasi selain teknologi realiti augmentasi atau luasan dan realiti maya yang diadakan di pameran dagangan SEMICON Southeast Asia 2019 di sini, hari ini. -BERNAMA











