Pencerobohan nelayan: Duta Vietnam dipanggil - Utusan Malaysia

Pencerobohan nelayan: Duta Vietnam dipanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 8 Mei – Duta Vietnam ke Malaysia, Le Quy Quynh telah dipanggil oleh Wisma Putra hari ini untuk memberi penjelasan berhubung pencerobohan kapal-kapal negara itu ke kawasan Malaysia yang dilihat tinggi.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Nushirwan Zainal Abidin telah menerima kedatangan duta negara itu dan menyerahkan satu nota protes yang menzahirkan bantahan kerajaan terhadap pencerobohan-pencerobohan berkenaan.

“Kerajaan Vietnam telah digesa untuk mengambil pendekatan memperbetulkan situasi itu. Ketika pertemuan, kementerian menjelaskan bahawa sejumlah 748 kapal dan 7,203 anak kapal warga Vietnam ditahan dari 2006 hingga tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pencerobohan-pencerobohan ke perairan Malaysia oleh nelayan-nelayan Vietnam bukan sahaja satu ancaman kepada rakyat Malaysia tetapi juga pelanggaran terhadap kedaulatan negara dan integriti kewilayahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahan pula jelas Wisma Putra, pencerobohan itu turut bertentangan dengan undang-undang antarabangsa termasuk peruntukan-peruntukan berkaitan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Jelasnya, hubungan dua hala antara Malaysia dan vietnam kekal kukuh dengan kedua-dua negara menikmati perhubungan baik dalam pelbagai sektor di bawah rangka kerja Perkongsian Strategik.

Pencerobohan berulang oleh nelayan Vietnam tambahnya, akan hanya menghalang usaha-usaha mempertigkatkan hubungan oleh kedua-dua negara.

“Duta Vietnam mengambil maklum ke atas protes berkenaan dan memberi jaminan bahawa pendirian Malaysia berkenaan akan disampaikan kepada pihak berkuasa negaranya.

“Jaminan turut diberikan bahawa pencerobohan-pencerobohan ini adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang Vietnam dan pihak berkuasa tempatan berkaitan telah dimaklumkan berhubung perkara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini