SEREMBAN 8 Mei – Sebuah lori membawa muatan pasir terbabas masuk ke landasan komuter dalam kejadian di Stesen Komuter Batang Benar dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pemandu lori tersebut, Muhamad Zaidi Rusli, 31, tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kejadian itu turut menyebabkan perkhidmatan komuter tidak dapat menurunkan penumpang di stesen berkenaan.
“Lori pasir 10 tan itu termasuk ke landasan di kawasan menurun dan mengambil penumpang di stesen berkenaan.

“Pemandu lori yang cedera dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dan menerima rawatan di Zon Kuning serta dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa lori yang membawa muatan pasir sedang bergerak dari Kuari Bertam, Batang Benar menuju ke Salak Tinggi.
Menurutnya, pemandu lori itu gagal mengawal kenderaannya dipercayai akibat brek gagal berfungsi.

Jelas beliau, lori pasir itu yang berada dari arah laluan kuari gagal berhenti di simpang tiga melintasi Jalan Batang Benar lalu terbabas memasuki landasan KTM Batang Benar.
“Kes disiasat dibawah Rule 10 LN 166/59. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











