Nafas jamin bekal baja padi ikut jadual - Utusan Malaysia

Nafas jamin bekal baja padi ikut jadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 8 Mei – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memberi jaminan bekalan baja padi kepada pesawah kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini dan Perlis akan diedarkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Pengerusi Nafas, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, kesemua 22,041 tan metrik baja tersebut akan dibekalkan secara berperingkat menjelang akhir bulan ini berdasarkan tarikh pesanan yang dilakukan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing.

Menurutnya, tidak timbul isu kelewatan seperti dibangkitkan para petani kerana mengikut prosedur ditetapkan, pembekalan baja itu perlu dibuat selewat-lewatnya 30 hari selepas pesanan diterima.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga 30 April lalu, sebanyak 21,500 tan metrik pesanan baja telah diterima daripada MADA dan daripada jumlah itu, sebanyak 7,718 tan metrik atau 35.89 peratus baja telah dibekalkan kepada pesawah.

“Manakala baki 14,323 tan metrik baja padi akan disalurkan secara berperingkat sehingga 31 Mei ini seperti mana prosedur pembekalan yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kira-kira 68,000 pesawah kawasan MADA bimbang apabila bekalan baja bagi musim pertama tahun ini masih belum diedarkan walaupun sebahagian mereka sudah menjalankan kerja-kerja menabur benih padi di bendang masing-masing ketika ini.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata, Nafas tidak mempunyai sebarang masalah untuk membekalkan baja terbabit kerana mempunyai simpanan stok baja yang mencukupi, malah pihaknya komited untuk membuat pembekalan seawal minggu pertama bulan lalu walaupun kontrak lanjutan pembekalan hanya diterima pada 5 April.

Berkaitan dakwaan terdapat PPK yang belum menjalankan bancian baja di kawasan masing-masing, beliau berkata, proses tersebut hanya untuk kegunaan musim kedua tahun ini.

“Bagi musim pertama tahun ini, kita menggunakan rekod pembekalan baja yang sedia ada, jadi pesawah yang belum terlibat dengan bancian untuk musim pertama jangan bimbang kerana baja akan tetap diedarkan kepada mereka dalam tempoh ditetapkan.

“Malah, setakat ini belum ada laporan berhubung kelewatan pembekalan baja dilakukan oleh pesawah atau PPK terlibat dan sekiranya perkara itu berlaku mereka boleh menyalurkan maklumat kepada Nafas untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini