Anggun dengan baju kurung Zang - Utusan Malaysia

Anggun dengan baju kurung Zang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tegar berpaut pada pepatah ‘tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas’, percaya atau tidak baju kurung yang menjadi kebanggaan wanita Melayu sejak sekian lama, tidak terusik dengan kehadiran rekaan moden yang bersilih ganti datang dan pergi.

Hakikatnya, masih ramai yang setia pada baju kurung berpesak, berkekek, dan bertulang belut sama ada baju kurung Johor mahupun baju kurung Pahang atau Riau.

Salah seorangnya adalah pereka muda, Shafiqah Suhaimi, 29, yang tebal minatnya terhadap pakaian tradisional tersebut, terinspirasi daripada ibunya, Norizan Muda, yang gemar mengenakan kurung Pahang untuk ke pejabat ketika masih bertugas di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tak tahu kenapa, saya sangat suka pada pakaian tradisional seperti kurung Pahang, Riau, kurung Johor, kebaya dan sebagainya. Dulu ketika belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara), saya lebih menumpukan kepada paten-paten pakaian tradisional, malah sempat bekerja dengan pereka, Salikin Sidik yang dianggap sifu dalam rekaan pakaian tradisonal.

“Bagi saya apabila melihat seseorang wanita mengenakan baju kurung tradisional, keayuan dan kelembutannya lebih terserlah. Baju kurung yang direka orang dahulu sudah cukup cantik menjaga bentuk badan si pemakainya.

“Sebagai contoh, kurung Pahang, sesuai untuk semua bentuk badan, tidak kira kurus, berisi, rendah atau tinggi, semua nampak cantik,” katanya yang sejak tiga tahun lalu memberanikan diri tampil dengan jenama atau label sendiri, Zang.

Begitupun sebagai pereka fesyen, bukan bermakna Shafiqah tidak terbuka kepada perubahan, bahkan dalam sesetengah rekaannya turut menyuntik sentuhan moden agar nampak lebih kontemporari.Antaranya, dia tampil dengan rekaan kurung Pahang tanpa pesak tetapi apabila dipakai tetap nampak tradisionalnya, longgar dan selesa, dipadan kain belah belakang dengan hiasan renda Perancis pada kaki kain dan hujung lengan.

Begitu juga kebaya pendek yang diolah lebih moden dengan susunan butang Inggeris pada bahagian depan baju dan dipadankan kain lipat belakang yang juga diperindah dengan fabrik renda.

Shafiqah menyenangi warna-warna terang seperti ungu, hijau limau nipis, kuning dan oren, malah warna-warna tersebut membezakan rekaannya dengan pereka lain, selain hanya menggu­nakan tiga fabrik pilihan iaitu sutera Thai, sutera Shantung dan taffeta.

Apa pun katanya, perhatian utama tetap diberikan pada potongan dan jahitan yang bersih serta kemas, terutama pada bahagian pesak dan kekek kerana bahagian itu yang menentukan baju kurung terletak molek dan selesa dipakai.

Rekaan-rekaan tersebut adalah sebahagian daripada lapan rekaan untuk Koleksi Aidilfitri 2019 Zang, yang diperton–tonkan di peragaan fesyen anjuran Daramerah baru-baru ini.

Namun, katanya, koleksi sempena Aidilfitri tersebut hanya untuk tempahan, kerana setakat ini, Shafiqah belum berkeupayaan menghasilkan koleksi sedia untuk dipakai atau Ready To Wear (RTW).

“Dari awal lagi, saya hanya menghasilkan pakaian yang ditempah (bespoke), satu rekaan untuk sehelai, yang bermakna lebih eksklusif dan menepati kemahuan si pemakai.

“Sekarang ini pun, saya masih buka tempahan untuk mereka yang masih tercari-cari baju raya. Pelanggan boleh datang terus ke butik di tingkat dua, SACC Mall, Shah Alam atau kami sendiri ke rumah mereka untuk mengambil ukuran, memilih fabrik, sesi konsultasi dan seterusnya meyedang (fitting) baju yang sudah siap,” katanya yang mahu memperkukuhkan jenama Zang dengan menampilkan koleksi RTW, baju Melayu dan tudung pada masa hadapan.

Ditanya mengenai Zang, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, nama tersebut diambil sempena panggilan untuk ibunya, Norizan yang berasal dari Terengganu.

“Nama tersebut saya dengar sejak dari kecil dan terasa cukup enak di telinga saya. Jadi, apabila mula meminati dunia fesyen, saya menanam impian untuk menjadikan nama itu sebagai jenama saya,” katanya.

Bagi yang ingin bergaya pada Syawal ini dengan rekaan sentuhan Shafiqah, boleh ke butik atau menghubungi talian 011-11222032 atau layari Instagram byshafiqahsuhaimi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini