Rozita nekad 
jual telekung - Utusan Malaysia

Rozita nekad 
jual telekung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Enam tahun lalu, wanita berusia 47 tahun ini nekad membuat keputusan besar dalam hidupnya. Setelah lama berfikir, Rozita Mat Reshad meninggalkan kerjaya guru yang disandangnya sejak 2007.

Ibu kepada lima cahaya mata itu kemudian membuka perniagaan kerana minat dalam dunia keusahawanan.

Pemilik ijazah sarjana muda dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu membuka butik pakaian Muslimah, Al Ajmal pada Februari 2014 dengan dibantu kakitangan separuh masa selama setahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan modal permulaan sebanyak RM40,000, saya buka butik.

“Saya guna duit simpanan daripada gaji guru,” katanya kepada Mega Rona. Kini beliau mempunyai seorang kakitangan tetap dan empat pekerja separuh masa.

Berkongsi pengalaman, Rozita bermula dengan perniagaan butik pakaian Muslimah sebelum fokus pada produk kelengkapan haji dan umrah.

Pada Mei 2015, seorang rakannya memberi cadangan supaya menjual telekung. Menggunakan modal sebanyak RM900, Rozita mengambil stok sebanyak 20 pasang telekung daripada pembekal di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Saya tukar nama telekung itu kepada jenama sendiri iaitu Telekung Arafah Xclusive. Sejak itu, permintaan yang diterima sangat luar biasa. Namun sejak nama telekung itu tular, rekaannya mula diciplak.

“Saya perlu menyekatnya. Jadi, saya menghasilkan rekaan baru setiap kali rekaan saya ditiru,” katanya yang memberitahu kini terdapat lebih 10 rekaan telekung jenama Alajmal.

Ditanya cabaran yang dihadapi, katanya, beliau terpaksa berdepan masalah produk tiruan setiap kali rekaan baharu telekung jenama itu tular.

“Ia sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan saya,”ujarnya yang nekad mengeluarkan telekung sendiri sejak tahun lalu, menggunakan jenama Telekung Alajmal.

Menurutnya, sejak Mei 2015, lebih 100,000 helai telekung telah terjual daripada beberapa rekaan popular seperti Arafah, Prada Lace, Ameena, Aulia dan Almarwah.

“Purata jualan telekung setiap bulan ialah 2,350 pasang yang dijual secara runcit, melalui ejen dan secara borong,” katanya tersenyum.

Rozita menyasarkan jualan telekung melebihi 10,000 pasang dalam tempoh enam bulan ini berikutan pengenalan dua jenama baharu iaitu Telekung Mini Almarwah dan Telekung Ameena Xclusive.

“Saya yakin dapat menjual lebih 5,000 pasang Telekung Ameena sebelum Aidilfitri ini dan 1,500 helai Telekung Almarwah setiap bulan.

“Tahun ini juga, saya merancang untuk mengeluarkan set telekung ibu dan anak dengan nama Telekung Alwanee.

“Alwanee ialah rekaan edisi istimewa hari raya dan tidak akan diulang pengeluarannya selepas habis terjual,” katanya.

Dalam pada itu, Rozita mengalu-alukan orang ramai yang berminat menjadi ejen dan dropship kerana Butik Al-Ajmal menyediakan program usahawan yang bermula dengan modal yang rendah.

Jelasnya, untuk menjadikan jenama Alajmal lebih dikenali secara meluas, pihaknya menggunakan sistem ejen dan dropship serta butik vendor yang menjadi trend ketika ini.

“Kami mempunyai lebih 150 ejen dropship di seluruh negara dan ejen yang dilantik tidak dikenakan syarat, selain yuran yang dikenakan sangat minimum. Malah mereka akan diberikan sepasang telekung percuma sebagai contoh produk.

“Ada juga ejen dilantik daripada pelanggan yang berulang manakala butik vendor pula, kami membekalkan telekung kepada pemborong dan pembekal barangan haji dan umrah. Kami hanya menyasarkan sekurang-kurangnya satu stokis sahaja di setiap negeri,” katanya.

Menamatkan perbualan, Rozita sempat berkongsi pandangan tentang masa depan bisnes telekung.

Katanya, bisnes telekung merupakan perniagaan yang tidak akan mati sampai bila-bila selagi wujudnya umat Islam di bumi ini.

“Untuk bersaing secara sihat, kita mesti yakin bahawa setiap rezeki itu datangnya daripada Allah. Untuk melihat sama ada kita berjaya atau tidak dalam sesuatu bisnes, kita perlu lihat sama ada produk kita telah ditiru oleh orang lain atau tidak.

“Langkah seterusnya ialah mencipta inovasi agar pengguna lebih banyak pilihan dan kita perlu menganggap bisnes kita sebagai satu peluang untuk kita melaksanakan fardu kifayah kepada masyarakat,” katanya bersungguh-sungguh.

Orang ramai yang berminat dengan telekung Alajmal atau menjadi usahawan, boleh menghubungi talian 011-36502382.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini