SUNGAI BULOH – Seorang lelaki mati dipukul selepas didapati menyimpan gambar bogel milik isteri rakannya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah dekat Bandar Baru Sungai Buloh di sini Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah dimaklumkan tentang kejadian oleh bapa mangsa yang membuat panggilan kecemasan dan mendakwa anaknya dipukul oleh beberapa individu hingga tidak sedarkan diri.
“Susulan itu, anggota kereta peronda polis (MPV) dan pihak Hospital Sungai Buloh telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Siasatan mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berusia 27 tahun itu didapati memilki dan menyimpan gambar bogel milik isteri kepada salah seorang suspek di dalam telefon bimbitnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Fadzil, mangsa telah pergi ke rumah berkenaan setelah dipanggil oleh isteri kepada suspek yang ingin mendapatkan maklumat berkenaan gambar bogel tersebut sebelum dia kemudiannya dipukul oleh empat suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia di antara 26 hingga 36 tahun dengan menggunakan rotan.
“Siasatan awal yang dilakukan mendapati, mangsa merupakan rakan kepada suami wanita terbabit dan dikatakan telah mengambil gambar bogel berkenaan ketika wanita itu sedang mandi malah pernah mengugut untuk menyebarkannya.
“Siasatan masih dijalankan dan polis telah menahan empat suspek termasuk pasangan suami isteri tersebut pada hari kejadian dan kesemua yang ditahan kini direman tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE











