'Simpati bukan senjata saya - Ashira - Utusan Malaysia

‘Simpati bukan senjata saya – Ashira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMULAAN tahun 2020 dilaluinya dalam keadaan yang cukup sukar, hilang punca pendapatan selain dihalau keluar rumah sewa menjadi antara detik yang menakutkan ibu tunggal ini. Namun di sebalik kesedihan yang menyulam perjalanannya selama ini rupanya ada sinar berbeza.

Menjadi peserta dalam program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Ashira Aziz yakin ini adalah tempoh penting untuk dia bangkit semula. Namun baru beberapa minggu dalam program realiti itu sudah ada yang menyuarakan rasa tidak senang terhadap penyanyi ini.

Selain dikatakan ‘kebal’ dalam kalangan juri, Ashira juga didakwa sengaja menggunakan kisah kehidupan tragis ini sebagai umpan untuk meraih sokongan.

Menolak ini sebagai strategi awalnya untuk diterima kembali, jelas wanita berusia 36 tahun ini, tidak pernah terlintas untuk dia menggunakan simpati sebagai senjata kejayaannya.

“Saya hanya berkongsi apa yang dilalui. Memang ini kisah benar dan tiada niat untuk saya meraih simpati mana-mana pihak.

“Kalau betul saya mahu raih simpati juri, setiap minggu saya mesti berada pada kedudukan selesa tetapi itu tidak berlaku. Graf saya dalam GV7 ada turun dan naik. Jadi janganlah buat spekulasi begitu.

“Jujurnya saya tidak baca pun yang menulis komen kecaman ini. Ayah saya pun sudah pesan jangan baca. Mudah sebenarnya kalau tidak suka, jangan tengok,” katanya.

KEJUJURAN
Tahu mungkin ada yang memandang rendah akan pekerjaannya sebelum ini sebagai penyanyi kelab malam. Kongsi Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, kesukarannya yang dialami bukan kisah dongeng. Melihat pengakuannya sebelum ini dari sudut yang berbeza penyanyi yang pernah popular melalui lagu Di Ombak Resah memberitahu, dia lebih senang jujur dalam apa juga keadaan.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pekerjaan saya sebelum ini, ikutkan bukan sahaja saya tetapi ramai lagi mengalami nasib yang sama. Cuma mungkin sebab saya penyanyi kelab malam dan bukan kerja yang bagus di mata netizen, jadi mereka mula beri kecaman.

“Ikutkan saya juga tidak mahu berkongsi kisah peribadi, namun jika sudah ada soalan yang bertanyakan mengenai kehidupan yang dilalui, saya tidak akan menipu. Cuma saya memang tidak ambil pusing sangat mereka yang mengecam ini. Bagi saya setiap orang mempunyai hak untuk berkongsi pandangan,” katanya.

Bangga untuk bergelar ibu kepada Megat Shazril Haziq Hadi, 14, kata Ashira, dia cukup bersyukur mempunyai cahaya mata yang memahami keadaan yang dilaluinya sebagai seorang ketua keluarga.

Turut meletakkan harapan agar dia dan anaknya itu kembali tinggal bersama, jelasnya, menjadi fokus utamanya mencari sebuah rumah apabila cabaran di GV berakhir.

“Alhamdulillah dengan apa yang berlaku sekarang, anak saya tidak terkesan. Cuma pada awalnya dia sedikit keliru sebab tidak pernah melalui keadaan di mana ibunya berada dalam televisyen. Soal kisah kehidupan kami anak beranak pula yang menjadi perhatian kini, memang ada kawan-kawan dia yang bertanyakan keadaan, tetapi anak saya okay sahaja.

“Memang itu fokus utama saya selepas ini untuk mencari sebuah rumah dan tinggal bersama anak saya kembali. Ketika ini dia tinggal bersama kakak saya, bagaimanapun kami selalu berhubung melalui telefon. Ikutkan dia adalah kekuatan utama saya sehingga kini,” katanya.

Belum fikir soal rumahtangga
Bahagia dengan gelaran ibu tunggal sejak lima tahun lalu, sehingga kini kata Ashira, dia tidak pernah terfikir soal perkahwinan. Mahu memberi tumpuan buat perjalanan kariernya dahulu, namun ketika ini tidak dinafikan ada yang mencuba nasib mendekati dirinya.

“Saya banyak dapat mesej di Instagram dan Facebook dan melihat status saya sebagai ibu tunggal beranggapan saya sedang mencari. Jujurnya memang tidak terfikir ke arah itu langsung.

“Buat masa sekarang saya mahu fokus kepada kerjaya dan besarkan anak dahulu,” kongsinya ringkas.

Mengenai ciri-ciri lelaki yang mungkin mampu menakluki hatinya suatu hari nanti, tersipu malu menjawab soalan ini, kata Ashira, jujurnya dia tidak tahu ciri-ciri lelaki yang dicari memandangkan tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Ikutnya yang cuba mendekati saya di laman sosial ini kebanyakan mereka yang sudah berusia, kalau dengan saya macam pangkat ayah. Bukanlah memilih cuma tidak melihat apa yang berlaku ini sebagai sesuatu yang lucu.

“Saya memang tidak akan membalas mesej-mesej seperti itu,” katanya.

Fokus selepas GV
Tidak meletakkan harapan tinggi dalam GV7 pada mulanya, siapa sangka dia kini menjadi antara peserta yang menjadi ramalan untuk ke pentas akhir.

Mengakui tersentuh dengan sokongan yang diberikan, Ashira juga yakin ini adalah petanda untuk dia meneruskan kerjaya seninya pada tahap yang lebih tinggi selepas ini.

“Melihatkan apa yang sedang berlaku kini, saya yakin dengan rezeki saya dalam bidang nyanyian. Sebelum masuk GV7 memang saya tidak terfikir untuk kembali aktif sebagai penyanyi komersial, siapa sangka ini rezeki yang diberikan.

“Mengikut perancangan selepas berakhirnya GV7 nanti, saya akan keluarkan single baharu. Mungkin ini adalah hadiah buat peminat yang selama ini banyak menyokong saya.

“Selain itu menjadi harapan saya kembali merancang perjalanan karier saya selepas ini dengan baik dalam memastikan peluang yang ada tidak disia-siakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×