KUALA LUMPUR 6 Mei – Kesungguhan ahli akar umbi UMNO dalam melaksanakan tanggungjawab mengendalikan persidangan tahunan peringkat cawangan jelas memperlihatkan kematangan dan keutuhan pendukung-pendukung parti.
Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, ia turut dibuktikan apabila tiada sebarang kekecohan yang berlaku sekali gus mempamerkan bahawa ahli-ahli parti masih setia dan istiqamah pada perjuangan.
Keadaan itu membuatkan beliau yakin tidak wujud sebarang kesukaran bagi menjayakan mesyuarat Cawangan sebelum 30 Mei serta Bahagian sebelum 15 Ogos depan.
“Malah setakat ini dilaporkan setiap mesyuarat Cawangan dihadiri oleh ahli akar umbi UMNO dengan jumlah yang lebih ramai dari kebiasaannya.
“Kekuataan UMNO adalah akar umbinya. Hari ini dengan beberapa pemimpin meninggalkan parti, ia sedikit pun tidak menjejaskan akar umbi UMNO yang ada,” katanya yang dipetik daripada portal UMNO Online hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 16 November depan iaitu buat kali kedua dianjurkan sejak parti itu tidak lagi menjadi kerajaan Pusat.
Tambah Wan Muhammad Azri, UMNO yang memperjuangkan hak orang Melayu kini banyak berubah sama ada daripada peringkat pimpinan mahupun akar umbi yang inginkan UMNO kembali menerajui negara dan secara tidak langsung dapat membuktikan parti itu masih relevan.
“Walaupun status UMNO kini adalah pembangkang berwibawa, sudah pasti banyak isu-isu yang perlu UMNO ketengahkan untuk dibawa ke peringkat atasan demi suara-suara rakyat.
“Lanjutan tempoh mesyuarat UMNO hari ini juga memberikan banyak ruang dan faedah bagi UMNO di setiap Bahagian dalam menjayakan agenda parti,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE











