PULAU PINANG 6 Mei – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) tidak akan ditutup walaupun selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dibina.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak perlu bimbang mengenai pembinaan KXP memandangkan Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan untuk menaiktaraf LTAPP sehingga mampu menampung kapasiti maksimum 20 juta penumpang.
“Pulau Pinang tidak perlu bimbang dengan pembinaan KXP kerana ia tidak akan menyebabkan LTAPP tutup.
“Kerajaan Pusat sedang mempertimbang untuk menaiktaraf LTAPP bagi menampung 20 juta penumpang sehingga tahun 2035, amat mustahil untuk LTAPP ditutup,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Georgetown, di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Kerajaan Pusat meluluskan cadangan pembinaan projek KXP membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.
Bagaimanapun, projek KXP mendapat bantahan daripada kerajaan negeri kerana ia akan memberi impak dari segi ekonomi kepada negeri itu. – UTUSAN ONLINE











