PRK Sandakan: Polis Sabah kerah 1,000 anggota - Utusan Malaysia

PRK Sandakan: Polis Sabah kerah 1,000 anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 6 Mei – Polis Sabah akan mengerahkan sehingga 1,000 anggota bagi memastikan hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan Sabtu ini berjalan lancar.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, setakat ini, kira-kira 600 anggota bertugas sepanjang PRK itu, dan jumlah tersebut akan ditambah sehingga 1,000 anggota semasa proses pengundian dijalankan.

“Kita akan menambah keanggotaan, penugasan polis di tempat saluran mengundi dan daerah mengundi bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Agama Negeri (SAN), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass; Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Sabah, Asisten Komisioner M. Chandra dan Guru Besar SAN Kepayan, IPK Sabah, Badrussamad Laitak.

Omar berkata, perjalanan kempen PRK Parlimen Sandakan berlangsung dalam keadaan baik meskipun ada beberapa insiden kecil berlaku seperti poster kempen dikoyak pihak tidak bertanggungjawab.

“Polis telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat kes terbabit sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan untuk arahan selanjutnya,” ujarnya.

Mengenai majlis itu, Omar berkata seramai 398 murid SAN Kepayan IPK Sabah menerima beg sekolah sumbangan Petronas Gas Berhad selain sekolah itu turut menerima sumbangan dana RM10,000 daripada Syarikat Pembinaan Rastamas Sdn Bhd bagi kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Beliau berkata, sekolah yang sebahagian besar muridnya terdiri daripada anak-anak warga IPK Sabah dan Ibu pejabat Polis Daerah berhampiran, telah beroperasi sejak 43 tahun lalu jadi bangunan sekolah berkenaan perlu diselenggara demi keselesaan murid.

“Ini satu usaha baik dan saya percaya ia akan memberi kemudahan pendidikan kepada anak-anak Sabah yang belajar di sini. Kita berharap bantuan daripada swasta, syarikat berkaitan kerajaan ini menjadi contoh kepada syarikat lain kerana pentingnya CSR untuk membantu pihak memerlukan,” katanya.

“Kita juga mendapat peruntukan menerusi Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Sabah sebanyak RM17,000 bagi bekalan bahan binaan selain sumbangan RM10,000 daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking yang juga Anggota Parlimen Penampang bagi menambah baik lagi fasiliti sekolah itu, katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini