BUKIT KAYU HITAM 6 Mei – Cubaan lapan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar untuk menyusup masuk ke negara ini gagal apabila mereka ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.
Kesemua PATI terdiri daripada enam lelaki dan dua perempuan berusia antara 19 hingga 54 tahun itu ditahan pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) Tentera Darat kira-kira pukul 7.45 pagi.
Panglima Enam Briged, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, seramai empat orang anggota diketuai Koperal Khairol Azhar Saari yang melakukan Op Serkap ternampak PATI itu di kawasan sempadan negara.
“Kesemua PATI itu bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari pasukan keselamatan, namun mereka akhirnya berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan mendapati kesemua tangkapan termasuk seorang wanita yang mendakwa daripada etnik Rohingya itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.
“Kita percaya PATI ini menyusup masuk untuk mencari kerja di negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua warga asing itu akan dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk laporan polis dan tindakan lanjut.
“Mereka didapati berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











