Dana SRC: Saksi dakwa terburu-buru siapkan kertas kerja pinjaman SRC - Utusan Malaysia

Dana SRC: Saksi dakwa terburu-buru siapkan kertas kerja pinjaman SRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Saksi ke-29  memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia berada dalam keadaan tertekan dan terburu-buru semasa menyiapkan semua kertas kerja berhubung pinjaman SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM4 bilion tujuh tahun lalu.

Bekas Penolong Naib Presiden Bahagian Pendapatan Tetap Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Amirul Imran Ahmat, 39, berkata, tekanan itu disebabkan beliau terpaksa menghadiri banyak mesyuarat pada masa itu. 

“Saya diminta oleh pihak pengurusan untuk mempercepatkan permohonan itu… Jika dilihat terdapat beberapa mesyuarat dalam masa terdekat. Kalau ‘miss’ (terlepas) meeting go for next one (pergi mesyuarat lain). Tapi di sini, saya tergesa-gesa untuk setiap mesyuarat termasuk terdapat banyak tekanan untuk mempercepatkan semua,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amirul Imran berkata demikian ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya  Datuk Ishak Mohd. Yusoff mengapa terdapat kesilapan pada tarikh kertas kerja pada hari ke-13 perbicaraan kes tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Terdahulu Amirul Imran memberitahu mahkamah bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menandatangani satu surat jaminan Kerajaan Malaysia ke atas pembiayaan pinjaman tambahan sebanyak RM2 bilion oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada syarikat SRC International Sdn. Bhd. 

Amirul Imran berkata surat itu ditandatangani oleh Najib selaku Menteri Kewangan pada masa itu pada 27 Mac 2012. 

“Pada 28 Mac 2012 KWAP ada menerima surat daripada Kementerian Kewangan yang merupakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kepada SRC International pinjaman RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun yang kemudian wang itu telah dimasukkan pada hari yang sama ,” 

Katanya, KWAP ada mempertimbangkan agar pengeluaran wang pinjaman (RM2 bilion) dapat dilakukan terlebih dahulu dan Kementerian Kewangan memberikan akujanji untuk menyerahkan jaminan kerajaan (Goverment Guarantee) selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari.  

Semasa prosiding, ditanya Ishak adakah ini kali pertama berlaku apabila wang diberi dahulu (RM 2 bilion) dan baru surat jaminan dikeluarkan, saksi itu berkata ‘Ya’ itu adalah kali pertama berlaku.

Dalam pada itu, Amirul Imran menyatakan pada mahkamah pinjaman tambahan RM 2 bilion tersebut adalah bagi membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan dan bukan untuk aktiviti pelaburan am. 

Perbicaraan bersambung lagi petang ini. 

Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan. 

Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza. 

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini