Chefmanship Akademi (CA) yang dikelolakan oleh Unilever Food Solutions (UFS) memperkenalkan dua modul terbaharu iaitu Ke Arah Kelestarian Hijau (‘Go Green) serta inisiatif untuk mengukuhkan tahap keupayaan wanita mengikut usaha dan peningkatan berterusan dalam industri perkhidmatan makanan.
Pengarah Urusan UFS Malaysia, Nusrat Perveen, berkata, tumpuan pihaknya kini adalah untuk mendidik pengendali makanan mengenai pengurusan sisa makanan dan pengiraan kos.
Ini kerana katanya, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan lagi program akademik yang inovatif bagi tujuan tersebut.
“Sejajar dengan pendekatan global Unilever iaitu Pelan Hidup Lestari dalam meningkatkan tabiat kesihatan dan kesejahteraan di Malaysia, ‘Go Green’ ialah satu titik tumpuan utama kami yang akan dilancarkan pada Jun ini.
“Kempen digital Tonton & Menang (‘Watch & Win’) di laman Facebook UFS bertujuan menjangkau sekurang-kurangnya 8,000 pengendali makanan bagi menggalakkan dan menekankan manfaat pembungkusan makanan biodegrad untuk impak jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program CA di Auditorium MBSA, Shah Alam baru-baru ini.
Program CA menekankan keusahawanan pintar dan membantu pengusaha makanan memahami keperluan untuk meningkatkan kualiti makanan, perkhidmatan dan kecekapan untuk menjadi cef yang lebih baik.
Di samping itu, katanya, ‘Go Green’ adalah satu lagi inisiatif penting UFS Malaysia dalam memperkuatkan tahap keupayaan warga wanita dalam industri perkhidmatan makanan.
Katanya, pihak-pihak penting lain dalam program inisiatif wanita itu termasuklah MBSA bersama Persatuan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM).
Nusrat berkata, ia diharap dapat menggalakkan kemahiran keusahawanan wanita dalam kumpulan isi rumah B40 dengan menyediakan latihan dan dana untuk potensi memulakan perniagaan sendiri.
Beliau menambah: “UFS telah memulakan program pertama CA 2019 dengan kerjasama MBSA melibatkan 700 pengendali makanan untuk Bazar Ramadan tahun ini.
“Kami amat berbesar hati untuk meneruskan hubungan rapat dengan MBSA sejak penubuhan CA pada 2013 dan kami tidak sabar menanti peluang kerjasama selanjutnya dalam masa terdekat ini.”
Nusrat menjelaskan, berdasarkan data Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada 2016, rakyat Malaysia membazir makanan sebanyak 15,000 tan setiap hari yang mana 8,000 tan adalah sisa dan lebihan makanan, 3,000 tan anggaran makanan yang masih boleh dimakan dan makanan dibazir, dengan pembuangan hampir 1.1 juta tan setahun.
Sejak program CA dilancarkan pada 2013, UFS telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seluruh negara. Untuk Lembah Kelang, kerjasama itu melibatkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Klang & Pantai.
Program CA juga dikendalikan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).











