Sandakan sandaran PH? - Utusan Malaysia

Sandakan sandaran PH?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN atau dalam istilah Sulunya bermaksud ‘tanah yang digadai’. Digelar demikian kerana tergadainya kawasan tersebut daripada kekuasaan Kesultanan Sulu kepada William Clarke Cowie sekitar 1870-an. Dalam konteks politik pasca penubuhan Malaysia pula, kawasan Parlimen ini sering bertukar ganti penguasaannya. Pernah dikuasai SCA (BN), DAP, PBS, LDP (BN), Bebas dan kembali semula kepada DAP.

Setelah tewas pada tiga PRK berturut-turut sebelum ini, Sandakan menjadi sandaran kepada Pakatan Harapan (PH)untuk kembali membangkitkan semangat pemimpin dan penyokong mereka menerusi kemenangan di Parlimen itu.

Kemenangan terakhir PH adalah di Parlimen Port Dickson yang diperoleh menerusi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Oktober tahun lalu. Setelah itu, PH mengalami ‘kemarau’ kemenangan baik di Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih dan Rantau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Sandakan, PH mempertaruhkan DAP dalam misinya mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi mendiang Datuk Wong Tien Fatt atau dikenali sebagai Stephen Wong. Apakah DAP mampu memberikan kemenangan untuk dijadikan ‘hadiah’ sempena ulang tahun pertama pemerintahan PH setelah genapnya 8 Mei ini?

Namun, persoalannya mengapakah DAP tidak menggunakan logo PH di Sandakan ini? Apakah logo HARAPAN belum dapat diterima pengundi di Sabah khususnya pengundi Cina?

Hal ini sekali gus mengingatkan kita mengenai strategi yang digunakan DAP pada PRK Balakong. Apakah kekalahan calon DAP yang menggunakan logo HARAPAN pada PRK Cameron Highlands menyebabkan strategi itu dibuat?

Kelebihan DAP

Berdasarkan pengamatan dan penelitian penulis, peluang DAP di Sandakan dilihat 55:45, berbanding lawannya, PBS. Hal ini berasas beberapa faktor.

Pertama, demografik pengundi Sandakan yang majoritinya adalah pengundi Cina. Sebilangan besar mereka terlibat dalam perniagaan dan bekerja sendiri.

Pengundi Cina meliputi 49.2 % sementara Bumiputera Islam sebanyak 43.0 %, Bumiputera bukan Muslim 5.7 % sementara lain-lain, 2.1 %.

Berdasarkan sokongan semasa, pengundi Cina dilihat masih cenderung menyokong DAP. Justeru, dengan kelebihan bilangan pengundi Cina, DAP hanya memerlukan sekitar 15 hingga 20 % daripada kelompok Bumiputera-Islam dan juga Bumiputera bukan Muslim untuk mencipta kemenangan.

Kedua, faktor calon, Vivian Wong Shir Yee yang merupakan anak kepada penyandang. Kematian penyandang sedikit sebanyak menyumbang undi simpati kepada waris di samping penghargaan terhadap jasa-jasa mendiang sepanjang menjadi wakil rakyat.

Walau bagaimanapun, jika mengambil pengalaman PRK Semenyih, meskipun PH mempertaruhkan calonnya yang merupakan menantu kepada arwah penyandang DUN namun, PH tetap tewas. Apakah faktor ini mempunyai impak yang berbeza antara pengundi Melayu dan Cina?

Faktor ketiga adalah sokongan kuat daripada kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan kepada DAP.

Berlainan keadaannya dengan di Semenanjung, faktor ini amat penting dalam konteks negeri Sabah yang sangat dipengaruhi kerajaan Negeri dan Pusat. Sebilangan Ahli Parlimen dan DUN di Sabah yang menang atas tiket BN pada PRU-14 terkesan dengan faktor ini.

Keempat,senario politik mutakhir ini yang seakan menzahirkan kepolaran perkauman. Etnik Bumiputera-Islam mula merasai hak mereka terancam sementara etnik Cina dan bukan Bumiputera pula dilihat sangat selesa dengan dasar yang lebih liberal dilaksana kerajaan PH kini.

Situasi ini menyebabkan pengundi Cina sangat cenderung menyokong DAP dan PH sementara pengundi Bumiputera-Islam mula tertarik dengan BN-PAS.

Kelebihan PBS

Di samping kelebihan DAP, terdapat faktor yang memihak kepada PBS. Pertama, PBS mendapat sokongan padu daripada BN menerusi isyarat BN tidak meletakkan calon untuk bertanding di Sandakan.

Selain itu, Pas juga memberikan sokongan terbuka terhadap calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin. Ini berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin pada 29 April 2019.

Meski pun cabaran besar PBS untuk menarik sokongan pengundi Muslim lantaran imej parti yang didominasi bukan Muslim, namun perkara ini diimbang dengan imej DAP yang hampir sama.

Bahkan dengan sokongan terbuka BN dan Pas terhadap PBS, memberikan kelebihan kepada PBS untuk mendapatkan sokongan pengundi dalam kalangan Bumiputera-Muslim di Sandakan.

Apakah ini suatu isyarat permulaan kepada pembentukan gabungan politik di Sabah melibatkan BN-Pas dan Gabungan Bersatu Sabah(GBS)dalam menghadapi PH pada masa hadapan?

Sebagaimana pengalaman BN-Pas sebelum ini dimana menerusi toleransi kawasan bertanding, kerjasama yang kian kukuh mula terbentuk.

Langkah Pas yang tidak menghantar calon pada PRK Sungai Kandis di samping tindakan BN memberi laluan kepada Pas pada PRK Seri Setia akhirnya membawa suatu kerjasama bermula dari Parlimen Cameron Highlands sehingga kini.

Di samping itu, PBS juga mempunyai kelebihan sebagai parti tempatan Sabah berbanding DAP yang bersifat parti peringkat nasional.

PBS berupaya memainkan kempen yang bersentimen Sabah for Sabahan. Sentimen ini mampu menarik sokongan Bumiputera Sabah, Islam dan juga bukan Islam.

Kemungkinan juga wujud undi protes sekitar 50 % dalam kalangan peniaga Cina yang melihat kelembapan ekonomi negara setelah hampir satu tahun Kerajaan PH memerintah.

Golongan ini mungkin mengambil sikap tidak keluar mengundi atau mengundi pembangkang sebagai tanda protes.

Pengalaman di PRK Rantau menyaksikan wujudnya pergerakan undi Cina kembali menyokong BN di sesetengah Pusat Daerah Mengundi tertentu. Apakah hal yang sama juga terjadi di Sandakan?

Kesimpulan

Tarikh 11 Mei ini menjanjikan jawapan siapakah yang akan menang di Sandakan.

Seandainya kemenangan berpihak kepada DAP di, ini akan mengukuhkan lagi imej serta kekuatan parti itu dalam kalangan tiga komponen PH yang lain.

Setelah kegagalan pada tiga PRK yang lalu, Sandakan diharapkan mampu menjadi sebagai sandaran dan bukan lagi igauan ngeri PH.

Kemenangan DAP membuktikan parti itu kekal relevan di negeri di bawah bayu sekali gus memberi nafas semula kepada PH dalam mencari kemenangan seterusnya.

Sebaliknya, jika PBS pula yang memenangi PRK Sandakan, maka plot kekalahan yang tercipta sejak PRK Cameron Highlands seakan-akan menampakkan isyarat pembentukan bola salji yang akan menghentam PH pada PRU-15 dalam masa tiga hingga empat tahun dari sekarang.

Kemungkinan juga pembentukan gabungan BN-Pas-GBS akan menjadi lebih formal di Sabah dalam menentang PH.

ZUWAIRI ZAKWA ialah calon PhD Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini