JAKARTA 5 Mei – Komisi Pemilihan Umum (KPU) menegaskan semua anggota pegawai jawatankuasa pusat mengundi (KPPS) yang meninggal dunia adalah disebabkan faktor keletihan dan isu tersebut tidak perlu dipolitikkan.
Lapor Detik News, Pesuruhjaya KPU, Ilham Saputra berkata, kebanyakan anggota KPPS meninggal dunia disebabkan mereka keletihan ketika menjalan tugas semasa pemilihan umum (Pemilu) dan bukannya berkaitan dengan perkara yang tidak sewajarnya.
“Jumlah kerja yang luar biasa menjadi faktor utama kepada keletihan yang dialami oleh kebanyakan anggota KPPS dan keadaan itu secara tidak langsung menyumbang kepada kematian mereka.
“Maka, tidak perlu rasanya isu ini dipolitikkan semata-mata ingin mencari publisiti murahan, malah semua pihak perlu melakukan penilaian yang sepatutnya,” katanya.
Terdahulu, Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno mengusulkan supaya kubur semua anggota KPPS yang meninggal semasa Pemilu berlangsung digali semula bagi mengenal pasti punca utama kematian.
Hal ini kerana, BPN percaya seperti ada perkara yang tidak kena memandangkan jumlah anggota KPPS yang meninggal dunia adalah tinggi.
Menurut jurucakap BPN, Mustofa Nahrawardaya, menggali semula kubur anggota KPPS adalah perlu kerana mereka tidak menerima maklumat punca kematian secara perubatan.
“Semua kubur jenazah KPPS perlu digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dilakukan secara teliti untuk mengenal pasti punca kematian mereka,” ujarnya. – AGENSI











