RM645,120 rokok seludup dirampas - Utusan Malaysia

RM645,120 rokok seludup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 5 Mei – Kegiatan sindiket penyeludupan rokok putih jenama Zhongnanhai berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya seorang lelaki dan 64,000 peket rokok bernilai RM645,120 dirampas dalam serbuan di kawasan Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan pada 11.35 malam itu dijalankan hasil intipan dilakukan pihaknya ke atas sebuah lori tiga tan yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.

“Semasa serbuan dilakukan, lori tersebut diletakkan di tepi Jalan Bendahara 9 TUTA dan pihak kita melakukan intipan selama 10 minit sebelum suspek menghampiri kenderaan terbabit dan lelaki itu ditahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu, sejumlah 128 kotak mengandungi 64,000 peket rokok putih ditemukan di bahagian belakang lori berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua di sini hari ini.

Paul berkata, hasil siasatan awal mendapati, rokok putih itu didakwa tidak bercukai selain dipercayai diseludup dari negara jiran melalui jalan darat.

Tambahnya, bekalan rokok itu dipercayai dibawa dari China untuk dijual kepada pekerja warganegara berkenaan yang bekerja di negeri ini.

“Hasil siasatan awal juga mendapati, suspek berusia 33 tahun itu mempunyai kaitan kes tangkapan membabitkan aktiviti penyeludupan yang sama pada bulan lalu,” katanya dan memberitahu PPM Wilayah Dua turut menyita lori tiga tan jenis Isuzu bernilai RM60,000.

Paul berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini