UMLand Bhd. lancar 102 unit rumah Jesper Residenz - Utusan Malaysia

UMLand Bhd. lancar 102 unit rumah Jesper Residenz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 5 Mei – UMLand Bhd. hari ini melancarkan 102 unit rumah Jesper Residenz di Bandar di Bandar Seri Alam di sini sebentar tadi.

Rumah teres dua tingkat dengan status pegangan bebas itu dibina di kawasan seluas kira-kira 2.9 hektar yang akan siap pada suku kedua 2021.

Pelancaran berkenaan disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kumpulan Perbandaran UMLand Bhd. Wong Kuen Kong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kuen Wong berkata, harga standard untuk satu unit rumah teres Jesper Residenz bernilai RM485,800 dengan kedudukannya yang strategik iaitu kira-kira 12 kilometer dari Bandaraya Johor Bahru melalui lebuh raya utama.

“Istimewanya golongan bumiputera boleh menikmati hak istimewa mereka untuk pembelian hartanah ini dengan diskaun hingga 15 peratus dan pemberian tunai pindah masuk antara RM10,000 hingga RM30,000.

“Terdapat 41 unit rumah Jesper Residenz adalah untuk bumiputera. Apa yang lebih menariknya sebanyak 61 unit rumah berstatus lot antarabangsa sudah terjual sebelum pelancaran ini dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Hassan meminta pihak pemaju di negeri ini supaya membina lebih banyak rumah mampu milik terutama untuk penduduk Pasir Gudang di bawah harga RM300,000.

Beliau berkata, terdapat banyak tanah kosong milik kerajaan di daerah ini dan kerjasama perlu dijalankan dengan pemaju untuk membangunkan kawasan tersebut dengan projek perumahan mampu milik.

Menurutnya, apabila kerjasama antara kerajaan dengan menyediakan tanah itu untuk pemaju bangunkan kediaman mampu milik, kos pembinaannya akan dapat dikurangkan dan harga rumah juga mampu diturunkan.

“Ini kerana masalah utama di Pasir Gudang dan Johor Bahru adalah harga tanahnya yang mahal. Jika kerajaan dapat bekerjasama dengan cara ini akan memudahkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Johor dengan kos yang rendah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini