SKMM serbu dua lokasi guna kelengkapan komunikasi tidak diperakui - Utusan Malaysia

SKMM serbu dua lokasi guna kelengkapan komunikasi tidak diperakui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini telah mengadakan serbuan serentak di dua lokasi iaitu Butterworth, Pulau Pinang dan Ampang, Selangor dalam usaha membendung penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan dan maklumat daripada orang ramai yang mendapati ada pihak atau individu tertentu yang menggunakan kelengkapan sedemikian.

Jelasnya, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui oleh individu itu telah menyebabkan gangguan frekuensi dan menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam serbuan itu, beberapa kelengkapan komunikasi seperti sebuah telefon tanpa wayar yang dibeli secara dalam talian dan antena televisyen UHF telah disita bagi membantu siasatan.

“Selain itu, identiti suspek yang terlibat dalam kes itu telah dikenal pasti dan rakaman percakapan telah diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Peraturan Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, jelasnya, sebanyak 23 pertuduhan telah difailkan di bawah peruntukan yang sama melibatkan kesalahan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dengan jumlah denda keseluruhan bernilai RM165,000 bagi tempoh antara 2018 hingga April tahun ini.

Jelasnya, selain daripada telefon tanpa wayar dan antena televisyen UHF, orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membeli kelengkapan komunikasi lain seperti dekoder televisyen digital myFreeview dan kotak televisyen Android kerana terdapat kelengkapan tidak diperakui yang dijual secara runcit dan dalam talian.

“Peringatan ini bertujuan untuk melindungi keselamatan para pengguna dan mengelakkan gangguan terhadap perkhidmatan komunikasi.

“Bagi memastikan kelengkapan komunikasi yang digunakan adalah sah dan diperakui, para pengguna boleh memeriksa status kelengkapan komunikasi mereka menggunakan aplikasi mudah alih Check Your Label atau  di laman web http://ecomm.sirim.my,” katanya – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini