KUALA LUMPUR 5 Mei – Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal masih yakin dengan kemampuan Roelant Oltmans dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo biarpun ketua jurulatih dari Belanda itu masih belum meraih sebarang gelaran bersama Malaysian Tigers.
Semalam, Oltmans tidak berjaya membantu Malaysian Tigers meraih gelaran Siri Akhir FIH di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil selepas tewas dalam saingan akhir 2-3 kepada Kanada.
Kekalahan itu juga bermakna belum ada lagi gelaran yang berupaya diraih Oltmans sepanjang bersama Malaysian Tigers sejak Oktober lalu.
Kata Subahan, ketika ini bukan masa yang sesuai buat badan induk berkenaan menilai prestasi jurulatih berkenaan berikutan tempoh menghadapi kelayakan akhir Sukan Olimpik hanya berbaki enam bulan lagi.
Tambah Subahan, Oltmans akan terus diberi peluang memperbaiki segala kelemahan barisan pemain Malaysian Tigers menjelang kempen Kelayakan Sukan Olimpik pada November ini.
“Saya tiada masalah dengan Roelant (Oltmans) dan barisan jurulatih, kami beraksi baik semalam malah, kami tampil cemerlang di awal permainan, hanya segalanya tidak menyebelahi pasukan bila pukulan strok tidak masuk.
“Kemudian kita memberi peluang kepada Kanada untuk merakam kebangkitan dan sekali lagi berputih mata kerana terlepas strok di suku keempat,” katanya.
Oltmans, 64 hanya mula dilantik membimbing skuad negara sejak bulan Oktober lalu dengan misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.- UTUSAN ONLINE











