Origi pastikan Reds kembali bernafas - Utusan Malaysia

Origi pastikan Reds kembali bernafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEWCASTLE UPON TYNE 5 Mei – Liverpool melakukan segala-galanya yang terdaya untuk menghidupkan peluang merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dan dipaksa mengharungi aksi mendebarkan sebelum menumpaskan Newcastle United 3-2, hari ini.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 ketika waktu sebenar permainan berbaki empat minit, dan pada masa sama Newcastle melancarkan serangan bertali-arus ke gawang Reds.

Tandukan pemain gantian, Divock Origi yang berpunca daripada sepakan bebas cantik Xherdan Shaqiri pada minit ke-86 bagaimanapun memastikan Liverpool pulang bersama tiga mata berharga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Liverpool yang tidak boleh kalah atau seri jika mahu terus menghambat Manchester City memulakan aksi dengan baik apabila tandukan Virgil van Dijk meletakkan mereka di depan pada minit ke13.

Kesilapan pertahanan pasukan pelawat bagaimanapun membolehkan Newcastle menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Christian Atsu, tujuh minit berselang.

Jaringan itu membuatkan Reds bekerja lebih keras untuk menambah gol, dan akhirnya pada minit ke-28, Mohamed Salah meledak jaringan yang dicari apabila melakukan sepakan voli selepas menerima hantaran Trent Alexander-Arnold.

Sebaik sahaja babak kedua bersambung, tuan rumah mengatur serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Liverpool hingga memaksa penjaga gol, Alisson bekerja keras.

Selepas terselamat daripada beberapa percubaan bahaya, perkara paling dibimbangi Liverpool terjadi juga apabila Newcastle meraih gol penyamaan menerusi rembatan Salomon Rondon pada minit ke-54.

Keadaan menjadi bertambah sukar buat anak-anak buah Jurgen Klopp apabila Salah mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar pada minit ke-70.

Biarpun diasak Newcastle menuju ke penghujung permainan, Reds yang tertekan masih mampu menunjukkan ketenangan, sebelum Origi akhirnya muncul penyelamat.

Apa yang boleh dilakukan Liverpool selepas ini adalah cuba memenangi perlawanan terakhir menentang Wolverhampton di Anfield pada 12 Mei ini, dan selebihnya nasib mereka bergantung kepada City.

Kemenangan di Saint James’ Park membolehkan Reds kembali ke tangga teratas liga dengan kelebihan dua mata, namun City mampu memintas semula kedudukan jika mengalahkan Leicester City, Isnin ini.

City akan bertandang je Brighton dalam perlawanan terakhir liga.

Kemenangan itu juga penting buat Liverpool untuk menaikkan semula semangat mereka sebelum menerima kunjungan Barcelona dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, Selasa ini.

Reds tewas 0-3 pada aksi pertama. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini