Rasa manis seperti karamel - Utusan Malaysia

Rasa manis seperti karamel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bahang menyambut kedatangan bulan Ramadan kian terasa. Di Jalan Radin Anum, Sri Petaling, Kuala Lumpur, pengendali sebuah premis yang menjual pelbagai jenis buah kurma mula tidak menang tangan membuat persiapan menanti ketibaan bulan yang dianggap paling suci dalam takwim Islam itu.

Beberapa orang pelanggan juga kelihatan berada dalam premis tersebut untuk melihat pelbagai pilihan buah kurma yang disediakan.

Begitulah rutin yang berlaku di premis menjual kurma, Royal Dates atau Kurma Royal setiap kali tibanya bulan Ramadan yang disambut setiap tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Malaysia, setiap kali menyambut bulan Ramadan, amalan memakan buah kurma ketika berbuka sudah menjadi perkara wajib.

Bahkan, suasana menyambut bulan mulia itu seakan-akan tidak lengkap jika tidak menjamah buah yang turut dikenali sebagai buah tamar itu ketika berbuka puasa.

Selain memiliki rasa tersendiri, kebaikan buah tersebut telah dibuktikan dalam kajian sebagai sumber gula semula jadi yang baik untuk mengembalikan tenaga.

Makanan sunnah

Selain khasiatnya yang tinggi, buah kurma juga dimakan ketika berbuka puasa bagi mendapatkan keberkatan memandangkan buah yang cukup terkenal di negara Asia Barat itu merupakan makanan sunnah Baginda, Nabi Muhammad S.A.W.

Oleh sebab itu, permintaan terhadap buah kurma melambung tinggi sewaktu sambutan bulan Ramadan walaupun buah yang memiliki kepelbagaian bentuk dan tekstur itu boleh didapati di pasaran pada bulan-bulan biasa.

Kurma atau atau nama sainstifiknya phoenix dactylifera merupakan buah daripada sejenis pokok palma yang ditanam untuk mendapatkan hasil buahnya.

Walaupun taburan asal penanaman pokok kurma tidak diketahui, beberapa kajian yang dilakukan mendapati bahawa kurma mungkin berasal dari suatu tempat di Afrika Utara atau di Asia Barat.

Ternyata, dengan variasi sehingga hampir 50 jenis buah kurma, setiap satu daripadanya memiliki keistimewaan dan rasa tersendiri.

Umum mengetahui salah satu kurma yang dianggap istimewa ialah kurma Ajwa atau juga dikenali sebagai kurma nabi.

Menurut pengurus Royal Dates, Jakir Hossain, kurma Ajwa dianggap istimewa kerana seperti yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W berkata, “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwa pada setiap pagi akan terhindar daripada sihir dan racun pada hari tersebut.”

Raja kurma

Selain kurma Ajwa, ramai yang tidak mengetahui terdapat sejenis kurma yang juga dianggap istimewa, malah disifatkan antara kurma yang paling sedap berbanding jenis kurma yang lain.

Dikenali sebagai kurma Medjool, kurma tersebut memiliki saiz yang besar dengan isinya yang tebal dan berwarna coklat serta rasanya yang manis.

Menariknya, saiz buahnya yang besar iaitu antara 10 hingga 15 sentimeter serta isi yang tebal dan manis seakan-akan karamel, kurma Medjool telah digelar sebagai ‘Raja Kurma’ atau ‘Berlian Kurma’ kerana keistimewaan yang dimilikinya.

Pokok kurma Medjool dikatakan berasal dari Lautan Atlantik di Maghribi dan tumbuh di kawasan yang beriklim tropika dan subtropika.

Namun, terdapat juga dakwaan memberitahu, kurma Medjool berasal dari Timur Tengah Palestin dan juga di kawasan Afrika Utara.

Bagaimanapun pada hari ini, kurma Medjool juga ditanam di Arizona, Amerika Syarikat dan menjadi antara pengeluar terbesar kurma Medjool di beberapa buah negara.

Pokok kurma Medjool memiliki keistimewaan tersendiri berbanding pokok kurma lain kerana ia boleh hidup walaupun pada musim kemarau dengan tempoh matang antara lima hingga enam tahun.

Menurut Jakir, walaupun kurma Medjool tidaklah begitu popular berbanding kurma Ajwa, namun ia tetap menjadi pilihan bagi segelintir penggemar buah tersebut.

Selain daripada itu, kurma Medjool juga merupakan kurma yang sukar untuk ditanam.

Hal ini kerana, kurma Medjool terlalu sensitif terhadap kualiti udara dan kelembapan tanah di sesuatu kawasan itu sehingga boleh menjejaskan kualiti buah tersebut berbanding jenis yang lain.

Maka tidak hairanlah di Royal Dates, kurma Medjool dijual pada harga RM134 untuk dua kilogram bagi Medjool biasa, dan RM145 untuk Medjool gred AA.

Bukan hanya saiz yang besar dengan rasa manis seperti karamel, kurma Medjool juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri dengan kaya kandungan mineral penting dan ia hanya memiliki kira-kira 66 kalori dalam sebiji kurma. Ditambah dengan aroma yang harum dan tersendiri, kurma Medjool memiliki sumber vitamin yang baik dan rendah karbohidrat, sekali gus mampu mengekalkan tenaga ketika berpuasa.

Menurut Pengurus Belian Royal Dates, Ibrahim Saleh, 27, permintaan terhadap buah kurma pada bulan puasa selalunya akan meningkat berkali ganda berbanding pada bulan lain.

“Maka untuk sambutan Ramadan pada tahun ini, kira-kira 15 hingga 20 tan buah kurma pelbagai jenis telah dibawa dari ladang milik keluarganya seluas 10 hektar di Madinah,” kata Ibrahim.

Bukan hanya kurma Medjool dan Ajwa, Royal Dates juga mempunyai pelbagai pilihan buah kurma lain seperti Safawi dan Mabroom.

“Selain kurma Medjool segar, kami juga menhasilkan beberapa produk lain berasaskan buah kurma seperti pati jus dan juga jem,” ujar Ibrahim.

Medjool antara kurma paling istimewa kerana saiznya yang besar dan mempunyai rasa manis asli tersendiri dengan tekstur buah yang kering.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini