PEMAIN beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjadi wakil tunggal negara ke pentas final Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand 2019 selepas menang mudah pada aksi separuh akhir semalam.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu mara setelah menumpaskan pasangan pilihan keempat dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja dengan straight set 21-14, 21-18 hanya dalam tempoh 40 minit.
Perkembangan tersebut sekali gus menyaksikan pasangan yang menghuni kedudukan No. 5 dunia itu berpeluang merangkul gelaran kedua mereka tahun ini, selepas kali terakhir melakukannya pada Kejohanan Masters Thailand 2019 Januari lalu.
Menurut Liu Ying, prestasi mereka kembali melonjak kerana keadaan gelanggang dan persekitarannya yang selesa selain percaturan strategi baharu mereka berjaya mengelirukan pasukan lawan.
“Kami berpuas hati dengan prestasi hari ini (semalam) dan berharap momentum ini dapat dikekalkan pada aksi final nanti. Tahun lalu, kami gagal beraksi dengan baik, jadi kami sudah menilai kelemahan masing-masing dan berjaya memperbaikinya.
“Untuk final esok (hari ini), kami hanya berjanji untuk memberikan persembahan terbaik tanpa memikirkan soal kalah atau menang. Tetapi jika ada tuah, sudah semestinya kami mahu pulang ke Malaysia dengan gelaran juara,” kata Liu Ying ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menanti Peng Soon-Liu Ying pada aksi final hari ini ialah wakil dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti yang turut mara ke pusingan akhir menerusi kemenangan mudah ke atas pasangan Taiwan, Wang Chi-Lin-Cheng Chi Ya dengan keputusan 21-12, 23-21.
Berdasarkan rekod, kedua-dua pasangan pernah bertembung sesama sendiri dalam empat perlawanan sejak 2018 yang mana rekod pertemuan lebih memihak kepada Jordan-Oktavianti setelah meraih tiga kemenangan daripada empat perlawanan itu.
Dalam perkembangan sama, harapan untuk melihat pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong ke final tidak kesampaian apabila mereka ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan pilihan kedua dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 19-21, 21-18, 14-21 di separuh akhir semalam.










